Sunday, May 16

RM154,702,900 diperuntuk bantu petani di S’wak pada tahun 2012

0

KUCHING: Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata sebanyak RM154,702,900 diperuntukkan bagi membantu golongan petani di Sarawak pada tahun 2012.

Jumlah itu katanya terdiri daripada peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan negeri yang disalurkan kepada Jabatan Pertanian Sarawak.

“Agensi pertanian persekutuan juga menyumbang kepada pembangunan pekebun kecil dengan peruntukannya sendiri,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan George Lagong (BEBAS-Pelagus) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata Jabatan Pertanian telah merancang dan bakal melaksanakan beberapa projek pertanian seperti Program Pembangunan Industri Tanaman melibatkan padi, buah-buahan, sayur-sayuran, kelapa, getah, kelapa sawit dan pelbagai tanaman.

Selain itu katanya Program Industri Asas Tani dan Makanan seperti pembangunan usahawan berasaskan pertanian, pemasaran dan pembangunan modal insan.

Tiga lagi projek bakal dilaksanakan tambah beliau ialah Program Pembangunan Industri Perikanan (pembangunan infrastruktur ladang, projek zon industri akuakultur dan pengeluaran benih ikan), Program Pembangunan Industri Ternakan dan Program Khidmat Sokongan Pertanian.

Sementara itu, menjawab soalan dikemukakan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (BN- Samariang) Jabu berkata proses pengambilan dalam Perkhidmatan Awam Negeri sentiasa dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Pemilihan pegawai berbakat untuk dilantik ke jawatan tetap katanya dibuat tanpa mengira latar belakang calon sama ada mereka telah mengikuti Latihan Pemerkasaan Keupayaan Siswazah (LPKS), graduan baharu atau pegawai sedang bertugas.

“Program LPKS bertujuan melatih dan membekalkan graduan dengan pengetahu-an, kemahiran dan pengalaman melalui pendedahan di-peroleh semasa berkhidmat.

“Melalui program ini, para graduan mempunyai peluang untuk meningkatkan kebolehkerjaan dan kebolehpasaran mereka.

“Nilai tambah yang diperoleh akan membantu mereka bersaing mendapatkan pekerjaan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya pengambilan kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri bergantung kepada kekosongan serta keperluan jawatan.