RM570.9j perbelanjaan tambahan 2012

0

RM570,893,223 peruntukan diperlukan kerajaan negeri bagi tampung perbelanjaan tambahan

KUCHING: Sejumlah RM570,893,223 (RM570.9 juta) peruntukan tambahan diperlukan oleh kerajaan negeri bagi menampung perbelanjaan tambahan 2012.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh ketika membentangkan Rang Undang-undang PerbekalanTambahan 2012 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

DUN semalam meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 selepas disokong Menteri Kanan Negeri yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom serta mendapat persetujuan majoriti ahli dewan.

Menjelas lanjut mengenai peruntukan tambahan itu, Wong berkata daripada jumlah tersebut RM39,715,678 digunakan untuk penyelara-san gaji kakitangan awam negeri berkuat kuasa Januari 2012 kerana dalam persiapan Belanjawan Negeri 2012 perkara itu tidak diambil kira.

“Kerajaan negeri mengikut skim gaji diperkenalkan kerajaan pusat. Penyelarasan gaji dilakukan oleh kerajaan pusat selepas Belanjawan Negeri 2012 telah dimuktamadkan, sebab itu tiada peruntukan bagi tujuan itu (dalam Belanjawan Negeri 2012),” jelasnya kepada pemberita pada sidang media selepas itu.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti berkata RM31,177,545 lagi digunakan untuk membayar bonus satu setengah bulan kepada kira-kira 14,000 kakitangan awam negeri seperti diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2013.

Beliau memberitahu, bonus setengah bulan telah dibayar pada Ogos 2012 dan setengah bulan lagi Disember ini manakala bakinya akan diberikan pada Januari 2013.

Manakala RM500 juta lagi dimasukkan ke dalam Akaun Dana Pembangunan untuk mengisi semula dana bagi membiayai program-program serta projek-projek pembangunan pada masa akan datang, tambahnya.

“Dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 jumlah ini di bawah B29 dianggap perkara perbelanjaan dalam Perbelanjaan Biasa.

“Bagaimanapun, sebelum peruntukan itu boleh digunakan daripada Akaun Dana Pembangunan untuk projek-projek dan program-program pembangunan, usul perlu dikemukakan seterusnya diluluskan oleh DUN bagi tahun tertentu sejajar dengan Arahan Tetap 23 dan ditetapkan di bawah Akta Dana Pembangunan 1966,” ujarnya.

Ditanya mengenai dakwaan wakil pembangkang Wong Ho Leng (DAP-Bukit Asek) yang beliau tidak dibekalkan dengan Kertas Arahan (Command Paper) nombor 7 dan 8 (Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012) seperti ahli dewan yang lain, beliau berkata ia hanya publisiti murahan daripada wakil rakyat itu.

“Beliau (Wong Ho Leng) bermain dengan isu ini. Saya berpendapat beliau cuba mengelirukan dewan kerana semua ahli dewan dibekalkan Kertas Arahan 7 dan 8. Semua wakil rakyat DAP diberikan kertas arahan itu, kenapa tidak beliau?

“Beliau mungkin telah menyimpannya di tempat lain. Saya membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi 2012 tetapi beliau terus bercakap mengenai Kertas Arahan Nombor 10 & 11 iaitu Rang Undang-undang Bekalan 2013.

“Beliau cuba mendapatkan publisiti murahan malah tidak ada seorang pun ahli DAP lain bangun untuk menyokongnya,” ujarnya.

Wong juga menganggap tindakan ADUN Bukit Asek itu tidak baik kerana ia bermain dengan sentimen rakyat sedangkan Kertas Arahan itu telah diagihkan kepada semua ahli dewan pada 19 November lalu (hari pertama Persidangan DUN).