Tiga kampung di utara Pulau Bruit dapat air bersih Julai 2013

0

KUCHING: Tiga kampung di utara Pulau Bruit dijangka mendapat bekalan air bersih menerusi projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Bruit/ Tekajong menjelang Julai 2013.

Tiga kampung tersebut ialah Kampung Penipah, Kampung Tekajong dan Kampung Bruit.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Sylvester Entri berkata sumber bekalan air bersih bagi projek tersebut adalah dari Loji Air Bayong di Sarikei.

“Projek ini dijangka siap pada Julai 2013.

“Skop kerjanya melibat-kan pemasangan paip, dua tangki simpanan air yang terletak di Kampung Saai dan Kampung Penipah, stesen pam penggalak di Kampung Sebako dan menaik taraf stesen pam penggalak sedia ada di Kampung Semop,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Namun demikian, Sylvester berkata empat lagi kampung di utara Pulau Bruit iaitu Kampung Penuai, Kampung Penibong, Kampung Petanak dan Kampung Salah Kechil telah mendapat bekalan air bersih daripada projek BALB retikulasi yang sumber air bersihnya diambil daripada Loji Air Penibong.

Katanya projek tersebut telah siap pada 10 Julai lalu.

Menurut beliau kesemua tujuh projek tersebut adalah dilaksanakan di bawah program NKRA.

Sementara, bagi bekalan air bersih di kawasan Batang Air Hilir, Skrang Hilir, Tisak, Rambai, Langkong Skrang Engkilili, Sylvester berkata ia akan dilaksanakan dengan sistem alternatif menggunakan sistem graviti atau sistem penuaian hujan.

Katanya ini disebabkan kedudukan kawasan tersebut terlalu jauh dari loji rawatan air Engkilili.

“Cadangan ini telah dikemukakan kepada KKLW untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.