SMK Tabuan Jaya unggul

0

Juara buat kali keempat kejohanan balapan dan padang kebangsaan

JUARA: Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan Melaka Datuk Gan Tian Loo (dua kanan) menyampaikan trofi kejohanan kepada Pengurus Pasukan SMK Tabuan Jaya, Edward Ngelai.

KUCHING: Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya sekali lagi mempamerkan keunggulan mereka apabila dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah-Sekolah Sukan Negeri Peringkat Kebangsaan 2012 kali ketujuh yang diadakan di Melaka pada 16 hingga 20 November lalu.

Kontinjen tersebut meraih 22 pingat emas, lapan perak dan 10 gangsa untuk menewaskan Sekolah Sukan Terengganu yang mengutip sembilan emas, enam perak dan lapan gangsa di tempat kedua.

Manakala wakil tuan rumah, Melaka menduduki tempat ketiga dengan pungutan pingat lapan emas, lapan perak dan enam gangsa.

Ini adalah kali keempat buat SMK Tabuan Jaya merangkul juara keseluruhan temasya sukan terbabit sejak mula melakar kejayaannya pada 2006.

Kejayaan kontinjen negeri lebih manis apabila salah seorang atlet mereka iaitu Faradillah Raznie telah dianugerahkan Olahragawati kategori 16 tahun ke bawah.

Faradillah mencipta tiga rekod baharu dalam acara 400 meter (59.8s), 800 meter (2:25.2s) dan 1,500 meter (5:11.4s).

Selain itu, atlet balapan dan padang SSN Sarawak juga telah mencipta 12 rekod baharu dalam acara lompat jauh lelaki dan wanita, 100 meter wanita, 100 meter lari berpagar, 200 meter, 110 meter Lari Berpagar lelaki, 4 X 100 meter wanita dan 4 X 400 meter wanita.

Pengetua merangkap Ketua Kontinjen SMK Tabuan Jaya, Hassan Wa’ Gani menyifatkan kejayaan tersebut adalah dedikasi daripada seluruh atlet termasuk ibu bapa mereka.

“Biasanya, kita akan mengadakan perbincangan dengan para jurulatih, atlet dan ibu bapa bagi memberi pemahaman dan mencari jalan terbaik untuk mendidik anak-anak mereka agar dapat mencapai kejayaan dalam bidang sukan.

“Dengan cara begini, kita dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh para atlet selain memudahkan kita menyediakan pelan pembangunan untuk mereka,” jelas Hassan.