Anggota ‘Geng Zawa’ terlibat dalam lima kes samun bersenjata ditahan

0

KOTA BAHARU: Seorang anggota ‘Geng Zawa’ yang terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata termasuk di Gua Musang bulan lepas yangmenyebabkan dua anggota polis cedera terkena tembakan, ditahan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Seri Cemerlang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek berumur 25 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 8 pagi sebaik keluar dari rumah tumpangan itu.

“Lelaki yang berasal dari Pasir Mas itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Turut ditahan di rumah tumpangan itu seorang wanita berumur 20-an danbayi berusia lima bulan yang dipercayai isteri dan anak lelaki itu.

“Semasa pemeriksaan polis turut menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver dan senjata api tersebut dipercayai digunakan pada lima kes samun di beberapa daerah sepanjang dua bulan lalu termasuk di Gua Musang itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut menemui dua botol dadah jenis heroin dan beberapa lagi barang yang ada hubung kait dengan kes samun.

Jalaluddin berkata suspek dipercayai turut terlibat dalam kejadian samun bersenjata api pada 30 Okt lalu di Gua Musang bersama rakannya Zawa Abd Halim, 34, yang menyebabkan seorang anggota polis, L/Kpl Mohd Samsul Anuar MohdAdnan, 27, dari Balai Polis Paloh, Gua Musang cedera parah terkena tembakan.

Bagaimanapun, Zawa ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota polis di Km45, Jalan Kota Baharu-Kuala Krai di Kampung Kemuning, Machang, yang turut mengakibatkan Kpl Mat Raduan Mat Hassan, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang cedera di tangan dan rusuk kanan.

Jalaluddin berkata hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam lima kejadian samun bersenjata berkenaan dan polis kini giat memburu saki-baki anggota geng berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata polis menerima 11 laporan yang dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa UMNO murtad.

Polis juga menerima 18 laporan berhubung tindakan adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi yang mendoakan  kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada solat hajatyang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58.

“Kesemua laporan itu telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk tindakan lanjut,” katanya. — Bernama