Monday, October 21

BCCK tingkat pelancongan berasaskan perniagaan

0

KUCHING: Kewujudan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) banyak menyumbang kepada peningkatan dalam pelancongan berasaskan perniagaan memandangkan delegasi akan berbelanja semasa mengikuti sesuatu konvesnyen.

“Kita mesti bekerja keras dan terus meningkatkan usaha untuk menganjurkan konvensyen agar delegasi rasa berpuas hati semasa berada di negeri ini,” kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dato Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah Penghargaan Anak Sarawak Ke-6 di BCCK malam kelmarin.

Berdasarkan rekod menurutnya, Biro Konvensyen Sarawak (SCB) menyokong 215 bidaan konvensyen melibatkan 97,507 delegasi yang menyumbang kira-kira RM222 juta kepada Sarawak.

Pengerusi SCB Dato Sri Muhammad Leo Michael Toyad berkata, kejayaan yang dicapai banyak disumbang sokongan kuat daripada kerajaan pusat dan negeri, pemain industri dan ahli perniagaan tempatan.

“Memang bangga melihat Sarawak memasuki peringkat global dan kita akan terus mengekalkan momentum seperti ini,” ujarnya.

Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Sarawak dimenangi Dr Ravi Chandran daripada Kesatuan Obstetrikal dan Ginaekologikal Malaysia (OGSM) dan Dr Lulie Melling daripada Unit Makmal Penyelidikan Tropikal.

Pullman Kuching dinamakan Venu Terbaik Tahunan manakala Pembekal Terbaik (Outtabox Event Specialist).

Program Insentif Terbaik dimenangi Cat City Holidays manakala Persidangan Terbaik adalah Nursing dan Allied Health Conference 2012.

Anugerah Penghargaan Global diberikan kepada China Peace International Tourism Co Ltd.