
TERUSKAN USAHA: Ding menyerahkan cek kepada Pengerusi Pertubuhan Muzik dan Nyanyian Da Lian Sarikei Lee Seng Hii sambil disaksikan tetamu lain.
Menceburi bidang seni bukanlah semudah yang difikirkan, ia perlukan pengorbanan dan fokus oleh penggiatnya
SARIKEI: Menceburi bidang seni bukanlah semudah yang difikirkan sesetengah pihak, kata Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing.
Menurutnya penglibatan dalam bidang berkenaan memerlukan banyak pengorbanan dan fokus oleh para penggiatnya jika ingin berjaya dan dihormati masyarakat dan penggemar seni khasnya pada sepanjang hayat dan kerjaya mereka.
Katanya bidang seni adalah bidang yang amat luas skopnya dan mempunyai banyak peluang untuk berjaya.
“Faktor yang paling penting dan harus ada dalam diri seseorang itu jika ingin menceburi sesuatu bidang ialah harus diperkukuhkan dengan azam dan semangat yang kental.
“Dewasa ini banyak penganjuran yang diadakan dengan usaha untuk melahirkan lebih banyak bakat baharu dalam bidang seni dan kita berharap usaha seperti ini mampu memberi perkembangan positif dalam bidang tersebut,” katanya pada Pertandingan Nyanyian Peringkat Negeri Sarawak Terbuka Lelaki dan Wanita Ke-27, di sini malam kelmarin.
Pertandingan anjuran Pertubuhan Muzik dan Nyanyian Da Lian Sarikei itu diadakan di Dewan Suarah Sarikei dan disertai 44 peserta.
Menurut Ding, langkah pihak pertubuhan dan persatuan yang menganjurkan aktiviti seumpama itu adalah satu tindakan yang amat dialu-alukan.
“Kita berharap lebih banyak program yang serupa dianjurkan dan saya selaku wakil rakyat di kawasan ini akan terus memberi sokongan kepada semua pihak yang akan menjadi pengelola aktiviti pada masa akan datang.
“Sebagai penghargaan kepada usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur pertandingan ini, saya memberikan geran sebanyak RM10,000 sebagai tanda penghargaan,” kata Ding.
Pada majlis itu, sebanyak 10 Pertubuhan Da Lian dari seluruh negeri ini menghantar peserta mereka bagi menyertai pertandingan tersebut.