Tuesday, November 12

Curtin Sarawak mampu lahir lebih ramai graduan

0

Terima pelbagai anugerah, pengiktirafan antarabangsa, berada di ranking kelima penilaian MQA SETARA 2011

MIRI: Curtin Sarawak mampu melahirkan lebih ramai graduan yang menepati pasaran pekerjaan semasa, melalui jurusan-jurusan profesional yang ditawarkan universiti antarabangsa itu.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata Curtin Sarawak telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan antarabangsa apabila berada di ranking kelima penilaian MQA SETARA 2011.

“Ini membuktikan bahawa Curtin Sarawak telah menawarkan jurusan-jurusan profesional pendidikan tinggi untuk para pelajar yang mementingkan kualiti dan pendidikan cemerlang,” katanya pada Majlis Makan Malam Curtin Sarawak 2012, di sini malam kelmarin.

Beliau memberitahu, semua jurusan yang ditawarkan Curtin Sarawak bertepatan dengan keperluan industri dan atas alasan itu, universiti terbabit menjadi pilihan ramai pelajar dalam dan luar negara.

“Jurusan-jurusan yang ditawarkan di Curtin Sarawak telah diiktiraf oleh pelbagai pihak di Malaysia dan luar negara dan disebabkan itu, universiti ini antara lapan universiti yang diiktiraf kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Beliau menarik perhatian bahawa Curtin Sarawak pada masa ini mempunyai kira-kira 3,500 pelajar daripada 40 negara dan jumlah pelajarnya dijangka akan terus bertambah dengan pembinaan bangunan baharu.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu, kebanyakan lepasan sekolah ketika ini mencari sebuah institusi pengajian tinggi yang sesuai dengan tuntutan pekerjaan semasa.

“Sehubungan itu, ramai pelajar yang memilih untuk melanjutkan pengajian di Curtin Sarawak selaras dengan statusnya sebagai pusat pengajian inovatif dan terunggul di Malaysia,” katanya.

Hadir sama Ketua Eksekutif dan Pro Canselor Curtin Sarawak Professor Ian Kerr, Timbalannya, Pro Cancelor Alistair Inglis dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Sarawak Nicholas Ching.

Sementara itu, majlis tersebut adalah anjuran bersama Curtin Sarawak dan Kelab Rekreasi Curtin bertujuan merapatkan hubungan antara kakitangan Curtin Sarawak dengan pelbagai agensi.