Delegasi IYCC akan dihiburkan dengan konsert mini

0

KUCHING: Delegasi Persidangan Kebudayaan Belia Antarabangsa (IYCC) akan dihiburkan dengan konsert mini di Kampung Budaya Sarawak dekat sini pada 30 November ini.

Konsert mini ‘Live in the Village’ bakal menampilkan persembahan pemuzik serta penari muda tempatan dan ia merupakan antara acara kemuncak persidangan anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) selama tiga hari itu.

Pada malam itu, kumpulan Asbun Percussions, Sonar Tribal dan kumpulan tarian hip-hop tempatan Soul Dance akan membuat persembahan.

Selain artis-artis tempatan, penganjur konsert mini itu turut menjemput artis New Zealand Dr Sanchez untuk menghiburkan delegasi IYCC dengan petikan gitar Latin.

“Ini adalah acara kemuncak persidangan. Kami mahu menutup tirai IYCC dengan sesuatu yang tidak mudah dilupakan dan meraikan kejayaan kami berkumpul di Kuching di bawah nama perpaduan global,” kata Setiausaha Lembaga Amanah YPS Mark Bonchol.

Beliau menambah, ’Live in the Village’ juga secara tidak langsung merupakan saluran untuk bakat-bakat tempatan mempamerkan kemahiran serta kreativiti masing-masing dipertontonkan oleh audien antarabangsa.

Bagi delegasi persidangan pula, mereka akan berpeluang naik ke pentas kerana penganjur turut menyelitkan segmen  pertunjukan fesyen semasa konsert itu nanti.

Delegasi boleh memperagakan pakaian tradisional masing-masing dan pada masa sama menjelaskan signifikannya.

Sementara itu, IYCC dianjurkan bersama Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan Faradale Media-M Sdn Bhd, anak syarikat Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak.

Ia merupakan acara kemuncak dalam kalender aktiviti-aktiviti (March on for Unity 2012), bahagian penting usaha YPS mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak dan mereka di luar negeri ini.

Mereka yang berminat masih boleh mendaftar dengan menghantar e-mel kepada

[email protected] atau menelefon pihak penganjur di talian 082-415484 /082-416484.

Orang ramai juga digalak melayari laman sosial Facebook YPS , www.facebook.com/YayasanPerpaduanSarawak untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai IYCC. Pengguna twiter pula boleh menyertai perbincangan mengenai persidangan itu di #IYCC.