Kerapkan rondaan mencegah ragut

0

Wan Zain

PDRM disaran gandakan rondaan di kawasan kerap berlaku jenayah ragut

MIRI: Berikutan kes ragut semakin menjadi-jadi khasnya pada musim cuti sekolah ketika ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menggandakan rondaan di kawasan kerap berlaku jenayah ragut.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata sejak beberapa hari lalu banyak kes ragut telah dilaporkan di beberapa bandar besar negeri ini yang membuktikan jenayah terbabit semakin serius.

“Saya menggesa pihak berkaitan terutama polis menggandakan rondaan di kawasan-kawasan perumahan, kampung dan pusat beli-belah bagi mencegah jenayah ragut,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, semua pihak termasuk masyarakat setempat harus memainkan peranan dalam mencegah jenayah terbabit dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Masyarakat setempat tidak harus meletakkan tanggungjawab menangani jenayah ragut di tangan pihak polis sahaja sebaliknya mereka harus memainkan peranan yang sama,” ujarnya.

Pada masa sama katanya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak berfaedah seperti melepak di kompleks beli-belah dan sekitarnya.

“Apabila remaja ini melepak beramai-ramai, maka mereka ini mudah mencuba sesuatu yang baharu seperti minum arak atau penyalahgunaan dadah.

Mereka seterusnya akan menjadi lebih berani dalam melakukan jenayah meragut atau merompak orang awam untuk mendapatkan wang segera disebabkan pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Wan Zain menarik perhatian bahawa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) juga harus menggandakan rondaan di kampung-kampung dan kawasan perumahan.

“Anggota KRT dan RELA wajar menjalankan rondaan kerap di kampung dan perumahan dan mereka mempunyai kuasa untuk menyuraikan remaja yang lepak,” katanya.

Pada masa sama, suspek yang ditangkap melakukan jenayah itu harus dikenakan tindakan lebih tegas terutama jika kes itu melibatkan kematian atau kecederaan anggota badan mangsa.

“Jika mereka berusia 18 tahun ke bawah, suspek harus dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak Tunas Bakti atau Sekolah Henry Gurney atau penjara jika ia melibatkan kes berat.

“Justeru, kes ragut yang semakin serius khususnya pada musim cuti sekolah harus dibanteras lebih awal, kerana kita bimbang statistik jenayah ragut akan terus bertambah,” katanya.