Kumpulan rock wanita Candy menerima Anugerah Khas DAMA

1

ANUGERAH KHAS DAMA: Kumpulan rock wanita pertama Malaysia, Candy menerima Anugerah Khas DAMA 2012.

KOTA SAMARAHAN: Anugerah Muzik Dayak (AMD) 2012 yang berlangsung di DeTAR Putra UNIMAS malam Sabtu lepas menyaksikan Anugerah Khas DAMA diberikan kepada kumpulan rock wanita pertama Malaysia, Candy.

Kumpulan yang dianggotai empat wanita kelahiran Sarawak itu pernah mencetuskan fenomena dalam muzik rock negara sekitar tahun 1990-an menerusi lagu hit mereka Akan Ku Tunggu.

Meskipun telah menyepi dalam industri muzik, namun vokalisnya Patricia, Mary (pemain gitar utama), Jacque (pemain bes) dan Connie (pemain dram) kekal menjadi kegilaan peminat-peminat muzik rock.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi DAMA (Persatuan Pemuzik Artis Dayak) Snowdan Lawan dan acara itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

AMD 2012 mempertandingkan 19 anugerah yang menyaksikan saingan hebat daripada penggiat-penggiat industri muzik Dayak terdiri daripada Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada tiga anak seni Dayak iaitu Ukum Mering, pemain sape legenda (Orang Ulu), Julia Empayer (Bidayuh) dan mendiang Michael Jemat (Iban).

Pendatang baharu, Gabriel Fairuz Louis yang popular dengan lagu Genggam Jariku menjadi tumpuan ramai pada malam anugerah itu apabila merangkul dua kategori iaitu Artis Lelaki Terbaik dan Artis Dayak Baharu Terbaik selain turut memenangi Album Iban Terbaik bersama penerbit Embat Lala.

Artis wanita Iban popular, Melissa Francis juga tidak menghampakan peminatnya apabila dipilih sebagai Artis Wanita Terbaik dan Artis Balada Terbaik menerusi album Berserara Enggau Air Mata.

Lagu Aku Nemu oleh Aldrich Lional Kamijan (Hevance) muncul sebagai Lagu Dayak Iban Terbaik, Romina Grey Melvin (Lagu Dayak Bidayuh Terbaik) manakala Urai muncul sebagai Lagu Dayak Orang Ulu Terbaik.

Antara lain, kategori Kumpulan/Vokal Duo Terbaik dimenangi oleh Taju Remoang, Album Bidayuh Terbaik (Edward Sayu), Album Orang Ulu Terbaik (Daniel Dampa), Kulit Album Terbaik (Donny Lang), Video Terbaik (Embat Lala), Lirik Terbaik (Harry Usup Umbar, Susunan Muzik Terbaik (Norman Ading/Ethnic Transmissions), Artis Rock Terbaik (Stevenson) dan Artis Pop Terbaik (Rannee Pat).

PENGIKTIRAFAN: Melissa Francis tidak menghampakan peminatnya apabila muncul sebagai Artis Wanita Terbaik dan Artis Balada Terbaik 2012.

TERBAIK: Penyanyi lagu Genggam Jariku, Gabriel merangkul Anugerah Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Artis Baharu Dayak Terbaik dan Anugerah Album Iban Terbaik bersama Embat Lala.