MIRI: Pendaftaran kempen kesedaran mengenai bandar sihat ‘Towards A Healthy Miri City’ anjuran Pantai Holdings Berhad dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Miri masih dibuka kepada mereka yang berminat.
Menurut jurucakap penganjur, pendaftaran percuma terbuka kepada 500 peserta yang mendaftar berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’.
“Sehingga kini kita telah menerima pendaftaran seramai 300 orang dan hanya tinggal 200 penyertaan lagi. Kita mengalu-alukan penyertaan daripada warga Miri bagi memeriahkan kempen ini,” katanya semalam.
Menurutnya, mereka yang mendaftar turut menerima cenderamata termasuk kotak peti kecemasan dan jamuan ringan turut disediakan kepada peserta.
Kempen berkenaan akan diadakan pada 1 Disember ini di premis PBSM Cabang Miri, bermula jam 7.30 pagi dengan senaman cardio beramai-ramai.
Antara objektif empen tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya warga Miri tentang bandar sihat.
Pelbagai aktiviti menarik sepanjang kempen turut diadakan seperti seminar kesihatan tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan dan diet seimbang.
Turut disediakan juga pelbagai pameran berkaitan maklumat perubatan kepada masyarakat yang akan dikendalikan oleh Pantai & Gleneagles Hospitals dan Gleneagles Jerudong Park Medical Centre Brunei.
“Beberapa syarikat korporat juga turut serta menyediakan pelbagai maklumat produk kesihatan dan pameran yang memberi impak kepada kehidupan serta kesihatan kita,” katanya.
Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai dijangka akan merasmikan kempen berkenaan.
Mereka yang ingin mendaftar dan mengetahui lanjut mengenai kempen boleh menghubungi Pusat Informasi Pantai & Gleneagles Hospitals Miri di talian 085-423728 (Diana) atau Petrus Lasong (MBM) 085-433501.