RM7 juta naik taraf gerai penjaja dan peniaga kecil

0

MESRA: Ismail (tengah) mendukung adik Ihsan Danial Anuar, 6, ketika berarak pada Program Khatan Perdana Peringkat Parlimen Bera 2012 di Bera, semalam. — Gambar Bernama

Membersih, menaik taraf gerai yang dibina peniaga sendiri

BERA: Kerajaan memperuntukkan RM7 juta bagi menjayakan program transformasi penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata program itu membabitkan kerja pembersihan dan menaik taraf gerai yang dibina oleh peniaga sendiri di kawasan majlis perbandaran dan majlis-majlis daerah.

“Peruntukan itu bagaimanapun tidak termasuk gerai-gerai yang dibina oleh Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah kerana gerai tersebut dibersihkan oleh pihak berkenaan secara berjadual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Perdana Peringkat Parlimen Bera 2012 anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata kerja membersih dan menaik taraf gerai telah dimulakan di kawasan terpilih sekitar Kuala Lumpur dan akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan kebersihan gerai-gerai berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Bank Rakyat yang menyumbang RM30,000 bagi program berkhatan itu yang membabitkan 200 kanak-kanak termasuk 30 anak Orang Asli.

Turut hadir Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Yusof Abdul Rahman. — Bernama