Semangat gotong-royong perlu diterap kepada golongan muda

0

SRI AMAN: Semangat bekerjasama yang wujud menerusi program gotong-royong yang melibatkan golongan dewasa perlu diterapkan kepada golongan muda, kata Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh.

Menurutnya, golongan muda tidak seharusnya dipinggirkan untuk terlibat sama menerusi program ini kerana semangat bekerjasama perlu diserapkan kepada golongan generasi muda.

“Justeru, kita amat mengalu-alukan pertubuhan atau agensi-agensi tertentu yang menganjurkan program gotong-royong agar melibatkan golongan muda agar semangat kerjasama itu tidak luntur begitu sahaja”, katanya pada Program Gotong-Royong Mencegah Wabak Denggi anjuran Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kampung Hilir Sri Aman di sini.

Katanya, generasi muda seharusnya dididik dengan semangat bekerjasama serta bergotong-royong kerana mereka adalah pewaris kepada pembangunan serta keamanan dan keharmonian negara.

“Kita tidak mahu melihat anak-anak muda hanya sekadar muncul dengan golongan dewasa menerusi program-program tertentu sahaja, sebaliknya mereka perlu dibawa bersama menyertai program ini agar mereka dapat nikmat semangat bekerjasama yang telah lama wujud.

“Justeru, golongan muda perlu menepis segala fikiran bahawa mereka tidak diperlukan menyertai program sebegini dan mereka perlu tampil bersama-sama golongan dewasa bukan sahaja menerusi gotong-royong malah program-program lain yang difikirkan perlu,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Gotong-royong Kampung Hilir, Pemanca Mas Shamsiah Maslem, Penghulu Abang Mohd Salleh Abang Kawi, ketua-ketua kampung serta masyarakat setempat.