Dana RM1 bilion akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS

0

KUCHING: Dana berjumlah RM1 bilion akan disediakan di bawah Skim Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mempercepatkan pertumbuhan PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dikendalikan oleh SME Bank, dana ini akan memudahkan akses PKS mendapatkan pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.

Bagi mempergiatkan industri halal, terutamannya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta.

Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada taraf yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising.

Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baharu seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian.

Untuk ini jelas Awang Tengah, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga RM25,000 bagi pelesenan dan RM500,000 kepada pelesen.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, kerajaan juga telah menyediakan kemudahan dan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk meningkatkan pertumbuhan PKS.

“Selain membangunkan estet perindustrian di bandar-bandar utama negeri ini, kerajaan juga menyediakan enabling infrastructure bagi menaik taraf pembangunan produk dan perkhidmatan melalui penggunaan teknologi, proses penambahbaikan, pembudayaan keusahawanan dan inovasi produk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Perindustrian pada Persidangan DUN di Kompleks DUN di sini semalam.

Mengulas mengenai isu pinjaman PKS  yang dibangkitkan oleh Violet Yong (DAP-Pending), Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata terdapat beberapa bantuan dan pinjaman diberikan kepada semua kaum.

Sebagai contoh, bagi tahun 2012 sahaja, jumlah bantuan dan pinjaman yang diluluskan oleh SME Corp, SME Bank, MATRADE dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sahaja ialah RM146 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM53 juta atau 36 peratus telah diberi kepada usahawan Bumiputera.

Selain daripada itu, MIDF juga menyediakan kemudahan pinjaman PKS dan sehingga kini, MIDF telah meluluskan pinjaman untuk membiayai 698 projek bernilai kira-kira RM752 juta.

Daripada jumlah ini, 80 peratus adalah diluluskan untuk peminjam bukan Bumiputera.

“Ini jelas menunjukkan bahawa tuduhan (DAP-Pending) bahawa pinjaman PKS hanya dikhususkan untuk satu kaum sahaja adalah tidak tepat dan mengelirukan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya memberikan perhatian kepada semua rakyat,” ujarnya.