Tuesday, October 3

Jangan politikkan pemberhentian pekerja Sanmina

2

Ia dikendalikan oleh Mahkamah Pekerja dan masih dalam proses perbicaraan, kata Awang Tengah

KUCHING: Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bertegas agar isu pemberhentian pekerja Sanmina-SCI Corporation (Malaysia) Sdn Bhd (Sanmina-SCI) tidak dipolitikkan.

Berucap pada penggulungan mesyuarat DUN bagi Kementerian Pembangunan Perindustrian di sini semalam, beliau berkata isu itu dikendalikan oleh Mahkamah Pekerja dan ia kini masih dalam proses perbicaraan.

Justeru katanya, semua pihak yang terlibat dalam isu ini seharusnya fokus kepada bagaimana untuk membantu pekerja yang terjejas dan bukan dijadikan sebagai isu politik.

“Saya telah berjumpa dengan 11 wakil pekerja yang diberhentikan termasuk wakil daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 21 November 2012.

“Mereka menyuarakan kebimbangan mereka kepada kerajaan dan kerajaan mendengar, memahami dan simpati dengan kesukaran mereka.

“Kerajaan berterima kasih kepada wakil-wakil dan pekerja-pekerja yang terjejas atas cara yang tepat untuk mereka mengendalikan isu menerusi Mahkamah Pekerja.

“Oleh itu, kita mesti menghormati undang-undang negara dan membenarkan proses-proses perundangan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Jelas Awang Tengah, susulan perkara itu, kerajaan juga menurutnya telah mengadakan mesyuarat bersama Sanmina-SCI bagi memohon penangguhan pemberhentian sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun, hasil daripada mesyuarat itu Sanmina-SCI meneruskan pemberhentian kira-kira 928 pekerja dan mengekalkan 91 pekerja jurutera dan teknikal untuk menjaga mesin-mesin dalam kilang.

Prihatin dengan nasib pekerja-pekerja yang kehilangan punca pendapatan, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak pada 17 November telah mengadakan program penempatan pekerjaan  di Dewan Masyarakat Kota Padawan.

Daripada 301 orang yang menghadiri program itu seramai 103 bekas pekerja Sanmina-SCI ditemuramah yang mana 17 daripadanya ditawarkan pekerjaan dengan pelbagai syarikat manakala 77 permohonan masih di bawah pertimbangan.

Mengulas mengenai cadangan pindaan kepada Ordinan Buruh 1952 yang dibangkitkan oleh See Chee How (PKR-Batu Lintang), Awang Tengah berkata kerajaan telah membuat pindaan terhadap ordinan berkenaan pada 2005.

Pindaan-pindaan tersebut katanya, telah mengambil kira peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Akta Pekerjaan 1995 (Akta 265).

Bagaimanapun, peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Buruh akan dikaji semula dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan setempat bertujuan untuk penambahbaikan dan kepentingan semua pihak dalam sektor pekerjaan.