Kadar penembusan jalur lebar isi rumah Sarawak kini 48.5 peratus

0

KUCHING: Kadar penembusan jalur lebar isi rumah di Sarawak ketika ini ialah 48.5 peratus iaitu melibatkan hampir 269,000 isi rumah berbanding hanya 13.6 peratus pada 2008.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia merupakan hasil pelaburan kerajaan dengan kerjasama pemain industri telekomunikasi sejak 10 tahun lalu melibatkan pelaburan lebih RM1.5 bilion.

Menurutnya sehingga hari ini, terdapat lebih 800 menara telekomunikasi, 34 pusat Internet 1Malaysia, 26 Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti, 33 Pusat Mini Jalur Lebar Komuniti, 828 Kampung Tanpa Wayar WiFi dan pelbagai intrastruktur telekomunikasi disediakan di seluruh Sarawak.

“Melangkah ke hadapan, 23 lingkaran gentian optik ketika ini sedang dibina di seluruh negeri termasuk kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) seperti Samalaju, Mukah dan Tanjung Manis.

“Sebagai tambahan, lebih daripada 120 struktur telekomunikasi selular yang baharu sedang dilaksanakan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku terakhir 2013.

“Selain itu, 108 tapak 2G sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan ia dijadual siap sepenuhnya pada suku ketiga 2013,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan untuk kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Awang Tengah menambah, bagi kemudian akses jalur lebar pilihan, 37 Pusat Internet 1Malaysia yang baharu dirancang untuk dilaksanakan pada 2013.

Menyentuh isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli Dewan beliau berkata usaha menambah baik kualiti liputan selular serta kemudahan jalur lebar di kawasan Matu telah dilaksanakan dengan projek penyambungan gentian optik dijadual siap sepenuhnya penghujung 2013.

Sementara itu katanya enam menara telekomunikasi di kawasan Limbang yang kini sedang dalam peringkat awal pelaksanaan menyasarkan liputan selular ke kawasan-kawasan seperti Lubai Tengah, Jalan Ukong, Jalan Kubong-Pandaruan dan Medamit.

Menara-menara itu tambahnya dijadual siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun depan sementara bagi kawasan Long Napir, Ulu Lubai dan Kuala Medalam, keperluan liputan selular di kawasan tersebut akan dicadangkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pelaksanaan pada 2013.

Beliau turut menegur sikap David Wong (DAP- Pelawan) kerana gagal memahami realiti dan cabaran dihadapi dalam membangunkan prasarana dan perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini yang hampir sebesar Semenanjung Malaysia.

“Sungguhpun berdepan dengan cabaran muka bumi yang sukar dan penduduk yang bertaburan serta berselerak, kerajaan Barisan Nasional telah berjaya menyediakan perkhidmatan WiFi percuma di 828 lokasi di seluruh Sarawak menerusi inisiatif Kampung Tanpa Wayar.

“Justeru usahlah berbangga dan berasa angkuh dengan usaha kerdil yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang, negeri yang sebesar sekangkang kera itu,” ujarnya.