Sunday, December 15

Komuniti Cina Sadong Jaya diyakini terus sokong BN

0

KEKAL BERSATU: Nancy (tujuh kiri) dan Aidel (enam kiri) merakamkan kenangan bersama pemimpin dan masyarakat Cina di kawasan Sadong Jaya.

KUCHING: Komuniti Cina yang sudah lama hidup dalam keharmonian bersama masyarakat lain di kawasan Sadong Jaya diyakini akan terus memberi sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata beliau yakin dengan perpaduan komuniti Cina dan masyarakat lain di situ, ia dapat mempertahankan kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Kita sudah lama hidup dalam keadaan aman dan damai walaupun di sini memiliki masyarakat berbilang kaum dan apa yang saya lihat masyarakat Cina terus memberi sokongan padu kepada kerajaan BN.

“Oleh itu, saya berharap sokongan ini kekal selamanya dan ini kita dapat buktikannya kepada rakyat di kawasan lain dalam PRU13 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Tokong Cina di Kampung Jemukan dekat sini baru-baru ini yang dirasmikan Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

Pada masa yang sama Aidel memberitahu, melalui sokongan semua pihak pembangunan yang dibawa kerajaan BN dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita harus sentiasa menyokong kepimpinan kerajaan BN dalam memastikan kita di landasan yang tepat untuk menuju sebuah negara maju menjelang 2020 kelak,” tambahnya.

Sementara itu, Nancy dalam ucapan perasmiannya berkata komuniti Cina di kawasan itu yakin dapat membuktikan bahawa masyarakat berkenaan kekal bersama kerajaan BN.

“Masyarakat Cina di Sadong Jaya ini marilah kita bersama-sama membuktikan tuduhan liar yang mengatakan komuniti Cina tidak lagi menyokong kerajaan BN adalah tidak benar supaya kita dapat menjadi contoh bahawa perpaduan masyarakat berbilang kaum masih lagi kekal di sini,” tegasnya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, pertambahan jumlah wanita di negara ini dan dunia berbanding lelaki menjadikan kaum hawa tunjang kekuatan dalam arena politik pada masa kini.

“Justeru, saya menyeru kaum wanita terus memainkan peranan mereka dalam bersama-sama bangun menentukan masa depan negara,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang dan tetamu kehormat lain.