Friday, October 23

KRT BDC Industri, Sarikei wakili Sarawak ke peringkat kebangsaan

0

CEMERLANG: Para panel hakim pertandingan Program KRT Cemerlang Peringkat Kebangsaan bersama ahli jawatankuasa KRT BDC Industri Sarikei, semalam.

SARIKEI: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) BDC Industri, Sarikei telah dipilih mewakili Sarawak pada Program KRT Cemerlang Peringkat Kebangsaan bagi tahun ini.

Pengerusi Panel Hakim Jawatankuasa Penilaian Peringkat Lawatan, Zulkifli Hashim berkata daripada 19 pencalonan yang telah didaftarkan dari seluruh KRT di negara ini, KRT BDC Industri Sarikei telah terpilih dalam senarai tujuh teratas.

“Daripada jumlah tersebut, KRT BDC Industri Sarikei adalah wakil tunggal negeri ini ke pertandingan peringkat kebangsaan yang sedang berlangsung sekarang.

“Pada pertandingan ini, KRT BDC Industri Sarikei bakal bersaing dengan enam buah KRT lain iaitu KRT dari Semanjung Malaysia,” katanya pada sesi dialog bersama dengan ahli jawatankuasa KRT BDC Industri Sarikei semasa penilaian berlangsung di sini semalam.

Tambahnya, terdapat beberapa aspek penilaian yang diambil kira oleh para panel hakim bagi membuat penilaian terhadap pertandingan ini.

“Antara yang menjadi skop utama pengiraan markah ialah keaktifan KRT dalam mempergiat aktiviti, keupayaan dan kemampuan KRT dalam mengelolakan sesuatu program, hubungan pihak KRT dengan masyarakat setempat, pengurusan serta beberapa konsep penilaian lain.

“Keputusan pertandingan ini bakal diumumkan pada Januari 2013 nanti,” katanya.

Terdapat empat orang panel hakim yang lain yang turut hadir dalam melakukan penilaian bagi pertandingan tersebut.

Antaranya Prof. Dr. Mansor Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaya (UKM), Rozyla Ahmad Fauzi dari Yayasan Pencegah Jenanyah Malaysia (MCPF) serta Nazliza Nazrin dan Maza Alauddin masing-masingnya dari Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN).

Sekitar 20 orang ahli jawatankuasa KRT BDC Industri Sarikei hadir pada sesi penilaian diadakan di Pusat KRT BDC Industri Sarikei, Jalan Meranti, Sarikei.

Hadir sama Pegawai JPNIN Bahagian Sarikei, Ahmad Noorkamal Abdul Malik.