Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bukan pesta

1

TEMPAT MENGADU: Salah seorang Tuai Rumah mengutarakan masalah penduduknya kepada Aaron (duduk empat kanan) serta agensi kerajaan yang lain pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jali Labang di Maong, Machan di Kanowit, Sabtu lalu.

Masyarakat harus anggap majlis itu sebagai landasan suarakan masalah atau isu di kawasan mereka

KANOWIT: Masyarakat luar bandar diingatkan supaya tidak menganggap Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dianjurkan oleh kerajaan atau agensi-agensi yang berkaitan sebagai satu majlis untuk berpesta.

Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang berkata masyarakat haruslah menganggap majlis itu adalah sebagai landasan untuk menyuarakan masalah atau isu di kawasan mereka.

“Majlis Pemimpin Bersama Rakyat ini bukanlah satu majlis untuk kita berpesta seperti konsert, majlis keramaian dan sebagainya.

“Jangan menganggap majlis ini untuk kita bersuka ria, malah manfaatkan majlis ini untuk mengutarakan isu atau pemasalahan yang dihadapi oleh rakyat kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jali Labang di Maong, Machan di sini, Sabtu lalu.

Aaron berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja berupaya menganjurkan majlis seperti ini dalam usaha membantu rakyat mendekatkan mereka dengan wakil rakyat BN sekali gus membantu menyelesaikan kesulitan yang dihadapi rakyat.

“Itulah ertinya kenapa majlis sebegini diadakan di rumah-rumah panjang,” katanya.

Menurut Aaron, masalah rakyat mungkin tidak diselesaikan jika mereka pergi mengadukan masalah-masalah berkenaan kepada pihak pembangkang kerana pihak pembangkang tidak pernah menganjurkan majlis seumpama itu.

“Itulah keunikan BN yang menganjurkan majlis seperti ini untuk rakyat berbanding pihak pembangkang yang menerima aduan rakyat hanya semata-mata untuk mempolitikkan agenda rakyat demi kepentingan mereka sahaja.

“Oleh itu, adalah lebih baik menggunakan peluang pada majlis itu untuk mengutarakan masalah kepada wakil-wakil agensi kerajaan atau pegawai-pegawai kerajaan seterusnya wakil rakyat,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa masalah rakyat tidak dapat diselesaikan jika mereka gagal memaklumkan permasalahan mereka melalui saluran yang betul.

Terdahulu, Aaron mengadakan lawatan ke pekan Machan dan menghadiri majlis yang sama di Rumah Awi, Rumah Serang, Rumah Gelanggang, Rumah Mambak, Rumah Enis, Rumah Judom dan Rumah Drisa di kawasan Machan.

Pada lawatan itu, beliau diiringi Penghulu Ugak Sigai, Penghulu Juin Adan, Penghulu Ambrose Digat dan Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail.

Pada majlis di Rumah Awi, beliau menggesa rakyat untuk memberikan sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“BN akan terus menunaikan janji terutama kepada penduduk luar bandar dengan menyediakan infrastruktur yang lebih banyak di kawasan terbabit,” katanya.