Minat dalam Sains, Matematik di tahap 28 peratus: Fadillah

0

KUALA LUMPUR: Penyelidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan minat dalam Sains dan Matematik di sekolah dan universiti ialah di tahap 28 peratus, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof semalam.

“Kementerian mahu peratusan minat dalam Sains dan Matematik meningkat kepada 60 peratus supaya kumpulan bakat dalam Sains, Teknologi dan Inovasi(STI) dapat diperbesarkan,” katanya kepada Bernama pada majlis penyampaian hadiah Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF) di sini.

Fadillah menyampaikan anugerah dan geran kepada 34 saintis dan penyelidik, sebagai mewakili Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, pada majlis itu.

Jumlah pemohon bagi anugerah dan geran itu adalah terbanyak bagi tahun ini, iaitu 318 bagi geran, 140 bagi Anugerah Pendidikan Sains dan 20 bagi Anugerah Sains dan Teknologi.

Fadillah berkata peningkatan jumlah pemohon yang menghantar penyelidikan dan inovasi mereka merupakan satu petanda baik.

“Dengan kewujudan MTSF, ia akan menyediakan peluang kepada penyelidik untuk diberikan anugerah. Dengan anugerah ini, penyelidik akan diiktiraf bagi hasil kerja mereka dan akan memudahkan mereka mendapat pembiayaan, yang merupakan satu insentif.

Beliau berkata kementerian sedang mencari jenis sokongan dan insentif seperti yang diberikan MTSF untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara STI yang maju.

“Saya menggesa organisasi di Malaysia untuk fokus kepada penyelidikan dan pembangunan untuk STI, daripada segi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memacu inovasi dan kreativiti,” katanya. — Bernama