Peniaga buah diingat agar tidak terpengaruh dengan dakyah: Hasbi

0

DAPAT SAMBUTAN: Buah durian yang sentiasa mendapat sambutan daripada pembeli ketika Limbang dilanda musim buah sekarang.

LIMBANG: Peniaga buah di sini diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang dakyah dimanipulasi pihak berkepentingan untuk mengapi-apikan kerajaan dan mereka sebaliknya fokus untuk mencari rezeki halal pada musim buah sekarang.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata isu perpindahan mereka ke kawasan berniaga baharu berhampiran Bank Simpanan Nasional (BSN) lama tidak harus dilihat sebagai isu yang boleh menggugat mata pencarian mereka terutama sepanjang musim buah-buahan ini.

Katanya, Majlis Daerah Limbang (MDL) perlu turun padang dan membantu pihak peniaga untuk menguruskan perniagaan mereka dengan lebih sempurna selain mengelak berlakunya masalah lalu lintas.

“Kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga untuk berniaga dan mencari rezeki halal terutama sepanjang musim buah-buahan yang melanda daerah Limbang sekarang,” katanya di sini semalam.

Beliau menambah pihak berkepentingan tidak akan pernah duduk diam untuk terus mencari isu memburuk-burukkan kerajaan.

“Dalam keghairahan mereka berniaga, peniaga tidak harus terpengaruh dengan isu yang dimainkan pembangkang kerana kerajaan tidak pernah menghalang peniaga untuk berniaga memasarkan hasil pertanian mereka.

“Malah, suasana musim buah-buahan sekarang akan memeriahkan lagi keadaan ekonomi bagi penduduk Limbang khususnya mereka yang tinggal di pedalaman sekali gus menarik kemasukan pembeli dari Brunei,” jelasnya.

Hasbi tidak mahu isu ketiadaan kawasan berniaga buah menyebabkan mereka mahu menumbangkan kerajaan pada pilihan raya kelak.

“Jangan hanya kerana isu-isu remeh dan kecil ini kita sanggup mengadaikan masa depan negara.

“Apa yang jelas kerajaan sentiasa menyokong penuh peniaga untuk mencari sumber pendapatan dengan berniaga pada musim buah yang berlangsung sekitar dua bulan ini,” katanya.

Beliau menambah MDL sebagai sebuah agensi kerajaan yang berperanan penting dalam sistem penyelenggaraan bandar, harus bersama-sama membantu peniaga termasuk mencari kawasan berniaga yang sesuai dan tidak mengganggu lalu lintas.

Tinjauan Utusan Borneo di tapak berjaja buah berhadapan Bank Rakyat di sini sekarang mendapati pelbagai jenis buah tempatan termasuk ‘raja buah’ (durian) dijual di sepanjang kawasan tersebut.

Kebanyakan buah durian putih dijual dengan harga RM8 hingga RM10 seikat, manakala durian kuning yang sememangnya laris terutama daripada pembeli Negara Brunei dijual dengan harga RM30 seikat.

Selain buah durian, terdapat juga buah-buahan tempatan lain termasuk kembayau, langsat, terap, manggis, rambutan dan buah-buah lain dijual di kawasan sama.

Sementara itu, Walikota MDL Sufian Mohat ketika dihubungi menjelaskan peniaga buah akan mula ditempatkan di kawasan berniaga baharu di belakang BSN lama bermula esok (hari ini).

Jelasnya, kawasan baharu itu akan lebih strategik dan mampu mengurangkan masalah lalu lintas dengan memuatkan lebih 100 orang peniaga.

“Kawasan berkenaan akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 7 malam sepanjang berlangsungnya musim buah-buahan,” katanya sambil berharap peniaga sentiasa mematuhi peraturan menjaga kebersihan kawasan berniaga masing-masing.