Perjalanan pulang dari majlis perkahwinan bertukar tragedi

0

KELIHATAN anggota penyelamat sedang mengangkat mangsa-mangsa yang terlibat dalam nahas terbabit dari gaung sedalam 200 meter di jalan berkenaan.

Prado masuk gaung, seorang maut dan empat parah

PENAMPANG: Seorang maut, empat cedera parah manakala dua lagi cedera ringan setelah kenderaan yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam 200 meter dalam kejadian di Jalan Sepulut Donggongon, Moyog di sini kelmarin.

Insiden berlaku kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah Simson Marusan, 36, setelah pacuan empat roda jenis Toyota Prado yang dinaiki hilang kawalan di lokasi terbabit.

Difahamkan, keenam-enam mereka yang mempunyai ikatan keluarga itu dalam perjalanan pulang ke pusat bandar setelah menghadiri majlis perkahwinan saudara di daerah Keningau.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.

“Manakala bagi empat mangsa yang cedera parah dalam kejadian itu turut digegaskan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pehubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.51 pagi dan dua jentera dari Penampang dengan kekuatan 13 anggota telah digegaskan ke lokasi insiden.

Menurut beliau, operasi menyelamatkan mangsa terpaksa menggunakan tali untuk mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan.

Jelas beliau, tempoh mengeluarkan kesemua mangsa daripada gaung sedalam 200 meter itu yang memakan masa kira-kira enam jam sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan.