PVTMS anjur kursus untuk veteran tentera

0

SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) akan menganjurkan Kursus Pembangunan Sosioekonomi Untuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen di Hotel Premier pada 8 Disember depan, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Presiden PVTMS Thomas Ling Kui Eng berkata, kursus berkenaan bagi memberi peluang kepada veteran ATM tidak berpencen menceburi bidang perniagaan atau mendapat pekerjaan dalam sektor awam.

“Ini juga demi kelangsungan kerjaya mereka sama ada sebagai seorang usahawan veteran yang berdaya maju atau pekerja yang produktif,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Persatuan menurut Ling, juga prihatinan berhubung kesukaran yang dialami veteran ATM di Sarawak yang tidak berpencen dalam meneruskan kehidupan mereka setelah menamatkan perkhidmatan bersama ATM.

Oleh itu katanya, persatuan telah berusaha menganjurkan kursus-kursus dan program-program bagi membantu veteran ATM.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (PERHEBAT) telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan program ini bagi meningkatkan sosioekonomi mereka melalui bidang perniagaan atau peluang pekerjaan.

Bidang keusahawanan yang ditawarkan kepada veteran ATM ialah jahitan, perniagaan, katering, penyelenggaraan stor, pertanian, perikanan, ternakan, bengkel motosikal, bengkel kereta, bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan, kontraktor binaan, kedai runcit, dobi, salun/gunting rambut/spa, membaiki kasut, pembekal, restoran, kedai makan, gerai makan, pembuatan, perusahaan mi kuning/kuey teow/bihun, perusahaan membuat tauhu, perusahaan membuat air soya, perusahaan makanan ringan tradisional, perusahaan kuih tradisional, kedai kek dan roti, francais, pengusaha tanaman herba/nuseri, tukang kunci dan kontraktor pencucian.

Bidang pekerjaan yang ditawarkan pula terdiri daripada pemandu kenderaan, pemandu pelancongan, sekuriti, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, penyelia, pengurus, penyelanggara setor, juragan, polis, imam/bilal, tukang masak/chef dan kerja pelantar minyak (offshore).

Sementara itu, Pengurus Kampus Wilayah Sarawak/Sabah Mejar Ibrahim Omar daripada PERHEBAT Kuching akan hadir di pejabat PVTMS di Jalan Tuanku Osman pada 1 dan 2 Disember depan untuk tujuan pendaftaran veteran ATM yang ingin menyertai kursus-kursus yang tertera di atas.