SUPP tampil empat muka baharu

0

DENGAR: Chin diberikan taklimat oleh ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Hakka Miri yang bertemu beliau semasa sesi berjumpa rakyat di Pejabat SUPP Miri, semalam. Turut kelihatan Sebastian Ting (kanan).

Nama calon disenarai pendek, diserah kepada pengerusi BN Pusat, Negeri

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bakal menampilkan empat muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang, sambil tiga muka lama dikekalkan.

Presidennya Datuk Seri Peter Chin  ketika mengesahkan perkara itu kepada media di sini semalam, memberitahu bahawa nama-nama tersebut sudah disenarai pendek dan telah diserahkan kepada kedua-kedua pengerusi Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan pusat.

“Kami akan mengekalkan tiga muka lama (kerusi Lanang, Sarikei dan Serian) manakala empat lagi adalah muka baharu.

“Nama kesemua calon yang dicadangkan itu sudahpun dihantar kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku pengerusi BN Negeri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN Pusat,” katanya.

Walaupun beliau tidak mendedahkan nama keempat-empat muka baharu itu, namun SUPP bahagian masing-masing sudahpun mengumumkan kepada media untuk meletakkan calon diyakini boleh menang mereka iaitu Ketua Pemuda SUPP Negeri Tan Kai bagi Parlimen Bandar Kuching dan Wilfred Yap bagi kerusi Parlimen Stampin manakala Parlimen Sibu ialah ketua masyarakat Cina Sibu Temenggung Vincent Lau Lee Ming.

Sementara SUPP Miri masih belum membuat pengumuman secara rasmi pengganti Chin bagi Parlimen Miri, namun presiden parti itu sudah membayangkan bakal calonnya ialah Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Pada PRU12 (2008), SUPP diperuntukkan tujuh kerusi dan menang enam kerusi selepas tewas di kerusi Bandar Kuching kepada DAP.

Pada pilihan raya kecil bagi kerusi Sibu, SUPP sekali lagi hilang kerusi kepada calon DAP Wong Hong Leng, menjadikan dua kerusinya kini milik pembangkang.

Lima kerusi yang masih kekal milik SUPP kini ialah Parlimen Stampin (Datuk Yong Khoon Seng), Serian (Datuk Richard Riot), Sarikei (Ding Kuong Hiing), Lanang (Datuk Tiong Thai King) dan Miri yang ketika ini disandang oleh Chin sendiri.

Namun, dua daripada penyandang iaitu Chin dan Yong telah mengumumkan pengunduran mereka dan tidak bertanding bagi mempertahankan kerusi Miri serta Stampin, menjadikan tiga calon yang dikekalkan ialah Tiong, Ding dan Richard.

Terdahulu, Chin telah mengadakan perjumpaan dengan rakyat di pejabat SUPP Miri di sini bagi mendengar pelbagai masalah, aduan, permintaan dan keperluan sama ada individu mahupun persatuan.