UMNO teguh dalam memperjuangkan rakyat

0

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata UMNO kekal teguh dalam memperjuangkan kebajikan rakyat dan negara selama ini.

“Kami membentuk semula UMNO. Namun, kami masih parti yang sama dengan prinsip yang sama. Kami masih memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Ituobjektif utama UMNO walaupun cara (sekarang) mungkin berbeza,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, sudah menjadi taktik pembangkang selama ini untuk menuduh kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk rakyat.

“Kami akan diberitahu masih banyak yang perlu dilakukan kerana itu tugas pembangkang untuk mengatakan (apa yang kerajaan) lakukan tidak cukup.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu memberi respons dengan mempertimbangkan sama ada mencukupi atau tidak. Kadang-kadang apa yang dinyatakan pembangkang adalah karut, kita tidak perlu ikut,” katanya yang ditemui selepas menganjurkan jamuan tengah hari untuk peserta forum antarabangsa ‘Konflik dan Pendamaian dalam Politik Rakyat – Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?’, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Forum dua hari sehingga hari ini itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO, turut membidas pembangkang kerana menganjurkan demonstrasi bagi mengelirukan orang ramai bahawa pilihan raya umum nanti tidak akan berlangsung secara adil.

“Mereka mewujudkan suasana yang menyaksikan orang ramai diberitahu pilihan raya itu tidak akan adil dan menolak (keputusan) pilihan raya, adakan demonstrasi agar mereka beroleh kuasa jika kalah pilihan raya,” katanya.

Dr Mahathir menggambarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim

“berkemahiran tinggi” dalam menganjurkan demonstrasi sebagai instrumen yang membawanya ke Putrajaya.

Beliau berkata, Anwar menentang demonstrasi ketika berada dalam kerajaan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan belia bukan Melayu di negara ini, sebaliknya melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan mereka menyertai antaranya perkhidmatan awam, polis dan tentera.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan telah memenuhi keperluan golongan muda di negara ini dengan menyediakan peluang dalam pendidikan dan pekerjaan, jauh lebih banyak berbanding negara lain. — Bernama