Pemaju disaran sedia talian telefon

0

MIRI: Pemaju-pemaju perumahan di negeri ini dicadang supaya turut menyediakan talian perkhidmatan telefon dalam melaksanakan projek pembinaan mereka sebagai salah satu kemudahan asas yang perlu disertakan.

Sehubungan itu, Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin meminta pihak pemaju supaya bekerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) apabila melakukan penyambungan talian dan pemasangan tiang.

Dengan demikian, katanya, kemudahan komunikasi tersebut tidak hanya memudahkan bakal pemilik rumah pada akan masa datang kerana keperluan untuk itu sudah ada, malah khidmat pemasangan kabel telefon lebih mudah, pantas dengan kos yang rendah bagi pihak TM.

“Saya kerap menerima aduan mengenai ketiadaan talian perkhidmatan di beberapa kawasan perumahan apabila ia mulai dibuka dan pada masa sama, penduduk terpaksa menunggu untuk satu tempoh masa bagi membolehkan permintaan yang cukup agar perkhidmatan TM di sesebuah kawasan dapat disediakan.

“Justeru bagi mengatasi perkara seperti ini, saya mencadangkan kepada semua pemaju perumahan supaya menjalin kerjasama seperti ini dengan TM, agar pembeli rumah mereka boleh melanggan perkhidmatan talian tetap dengan mudah dan pantas sebaik berpindah ke rumah baharu,” kata Lee.

Menurut beliau lagi, melalui kerjasama yang dijalin, pihak pemaju boleh tampil dengan pakej-pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelanggan mereka, di mana talian telefon tetap dipasang terus semasa rumah sedang dalam pembinaan, bagi membolehkan kemudahan telefon sudah tersedia sebaik mereka menduduki rumah.

“Melalui kerjasama seperti ini, kos pemasangan oleh TM dan pembeli juga dapat dikurangkan,” tambahnya.

Lee berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pelanggan oleh TM yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada penyediaan kemudahan telefon di kediaman pelanggan oleh pemaju akan meningkatkan harga rumah berkenaan, Lee berkata ia tidak memberikan beban atau kos yang besar kepada pemaju.

“Sebaliknya ia boleh mewujudkan satu persaingan sihat di kalangan pemaju, iaitu sama ada dalam bentuk pakej yang ditawarkan atau tarikan bagi pemaju yang menyediakan kemudahan itu berbanding mereka yang tiada,” katanya.

Lee berkata, talian telefon pada masa kini sudah seperti keperluan kerana hampir semua orang memerlukan talian komunikasi itu untuk menyambungkan mereka kepada dunia Internet.

“Justeru bagi sebahagian besar pengguna, memiliki talian komunikasi yang tetap dan stabil tanpa sebarang masalah seperti talian Internet pastinya amat penting terutama bagi mereka yang bergantung kepadanya termasuk syarikat,” tambah Lee lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut Lee meminta pihak TM supaya menggantikan talian kabel sedia ada kepada kabel fiber optik yang diyakini boleh mengurangkan kes kecurian kabel selain mampu menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang jauh lebih baik.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Besar TM Sarawak Abdul Rahim Mohd Ali, Penolong Pengurus Besarnya Roslawati Mohd Tahir serta ketua-ketua masyarakat, rukun-rukun tetangga, ketua jabatan dan agensi serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).