Kerajaan Selangor putuskan Datuk Bandar PJ hujung tahun ini

0

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memutuskan pengganti Datuk Mohamad Roslan Sakiman selaku Datuk Bandar Petaling Jaya, selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mencadangkan beberapa calon bagi menggantikan Mohamad Roslan, namun pihaknya belum membuat keputusan untuk memilih individu yang sesuai mengisi jawatan itu.

“Saya telah diberi cadangan dan masih dalam membuat penelitian, kita akan putuskan Datuk Bandar Petaling Jaya yang baharu pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Auditorium Jubli Perak di sini.

Mohamad Roslan ditukar ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuat kuasa 1 Okt lepas.

Berikutan itu, beberapa pihak mengeluarkan kenyataan bahawa Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa membelakangi Abdul Khalid dan anggota Exco kerajaan negeri dalam kes pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya.

Bagaimanapun, Ali berkata perkara itu merupakan proses biasa yang berlaku kepada mana-mana pegawai kerajaan dan ia tidak seharusnya menjadi isu. — Bernama