Kes demam denggi di Pahang turun 30 peratus

0

KUANTAN: Kerjasama semua pihak termasuk orang awam, agensi kerajaan dan swasta berjaya menurunkan kes demam denggi hampir 30 peratus di Pahang dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang Datuk Hoh Khai Mun berkata sebanyak 581 kes dicatatkan pada Januari hingga November tahun ini berbanding 822 kes dicatat dalam tempoh sama tahun lepas.

Katanya pada tahun ini, hanya daerah Pekan dan Cameron Highlands menunjukkan peningkatan kes iaitu masing-masing 26 kes daripada 11 kes dan satu kes daripada tiada kes, pada tahun 2011.

“Dalam membasmi demam dengki, kita juga telah memeriksa 277,729 buah premis dan sebanyak 1,900 kompaun dikeluarkan dengan jumlah bayaran kompaun yang berjaya dikutip adalah RM933,100,” katanya di persidangan ketiga penggal kelima Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengambil beberapa tindakan dalam menghadapi serangan haiwan liar terutamanya gajah liar terhadap pekebun kecil dan syarikat perladangan di Sungai Lembing, di sini.

Katanya antara tindakan itu termasuk siasatan, tembak halau, tangkap pindah, tembak mati dan pemantauan bergantung kepada spesis hidupan liar dan lokasi gangguan.

“Bagi serangan gajah liar di Sungai Lembing pada tahun ini, hanya tindakan tembak halau diambil kerana lokasi aduan yang diterima tiada lokasi untuk membawa keluar gajah yang ditangkap,” katanya ketika menjawab soalan Md. Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing). — Bernama