Thursday, September 19

Bapa hampir tertipu oleh panggilan palsu

0

SIBU: Seorang bapa tergamam seketika dan hampir menjadi mangsa tipu apabila dia menerima satu panggilan telefon daripada seorang pemanggil lelaki yang menyatakan bahawa anak lelakinya telah diculik semasa bercuti di sini pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.28 pagi, pengadu, 40-an, sedang berada di sebuah kedai kopi bersama kakaknya ketika menerima panggilan yang membuatnya cemas.

Pengadu yang berasal dari Kuching sedang bercuti bersama-sama isteri dan tiga anaknya di sini.

Menurut pengadu, dia hairan apabila melihat nombor ‘0306’ di paparan telefon bimbit dan menyangka ia adalah panggilan dari luar negeri.

Sejurus menjawab telefon bimbitnya, beliau terdengar suara seorang kanak-kanak lelaki menangis dan melaungkan “Ayah tolong… saya sedang diculik.”

Belum sempat pengadu menjawab, kedengaran suara orang lelaki yang menyatakan bahawa dia seorang pembunuh dan sedang diburu polis dan memerlukan wang untuk membolehkan melarikan diri dari Sibu dengan segera.

Bagaimanapun, percakapan mereka tiba-tiba terputus membuat pengadu berasa gelisah dan bimbang akan keselamatan anak-anaknya.

Nasib baik, kakak pengadu menasihatkannya untuk menghubungi isterinya untuk mendapatkan kepastian terlebih dahulu.

Setelah diberitahu oleh isterinya bahawa semua anak-anak ada bersamanya, baharulah pengadu berasa lega.

Namun, pemanggil itu sekali lagi menghubunginya dengan nombor talian yang sama pada jam 11.38 pagi itu.

Pemanggil berkenaan bertanya sama ada beliau sedang bersendirian dan beliau terus menjawab bahawa beliau sedang berada di rumah.

Tindakan seorang bapa untuk memastikan semua anak-anaknya ada bersama ibu mereka selepas menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang menyatakan anak lelakinya telah diculik menjadi penyelamat.

Ketika itu pengadu sudah mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dan tidak mengendahkan kata-kata pemanggil tersebut sehingga talian terputus.