Dua beradik mengaku tak bersalah rompak RM1.35j

0

MIRI: Dua beradik masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini petang semalam terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata dengan merompak wang gaji pekerja berjumlah RM1.35 juta kepunyaan sebuah syarikat minyak dan gas.

Albert Janggak, 26, dan adiknya, Mathioes Janggak, 19, dari Rumah Alo, Sungai Dulang, Suai Niah didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata dengan merompak wang tunai RM1.35 juta yang merupakan wang gaji pekerja milik Syarikat Punj LLoyd Oil & Gas (M) Sdn Bhd.

Semasa melakukan rompakan itu, mereka turut bersenjatakan dua laras senapang patah dan sebatang kayu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama empat orang yang masih bebas pada jam 3.10 petang, 6 November lalu di Jalan Beluru-Lapok, Marudi.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 18 Disember ini untuk pengurusan kes.

Manakala kedua-dua beradik terbabit yang merupakan pekerja di sebuah ladang sawit diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir, setelah Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud tidak membenarkan mereka dibebas dengan ikat jamin.

Ketika membuat keputusan untuk tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh, Kerisnada berkata ia dibuat atas faktor suspek-suspek lain masih bebas dan sejumlah RM500,000 wang yang dirompak masih belum ditemui.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah di mahkamah sama petang semalam terhadap tuduhan bersubahat untuk melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata itu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan tertuduh ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir setelah mahkamah memutuskan untuk tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Disember ini untuk pengurusan kes.

Shah Rezza Azhar, 25, dari No.3 Kampung Sekerang, Igan di Mukah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 395 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan juga boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah bersubahat dengan Albert Janggak dan Mathioes Janggak serta empat orang lagi yang masih bebas untuk melakukan rompakan ke atas wang tunai berjumlah RM1.35 juta yang merupakan wang gaji milik pekerja Syarikat Punj Lloyd Oil & Gas (M) Sdn Bhd.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu di syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.10 petang, 6 November lalu di Jalan Beluru-Lapok, Marudi.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.