Empat pasukan berentap rebut gelaran cabaran Bola Sepak Pantai Kenyalang 2012

0

SENGIT: Aksi sengit antara Kuala TS 5 dan Pomepureasia.com pada kejohanan pusingan awal Kumpulan A Cabaran Bola Sepak Pantai di Pekan Sabtu Oya hujung minggu lalu.

KUCHING: Empat pasukan kategori lelaki bagi Cabaran Bola Sepak Pantai Kenyalang 2012 Siri 2 akan berentap di peringkat separuh akhir pada 8 Disember ini di Pekan Sabtu Oya, bermula jam 9 pagi.

Pasukan-pasukan tersebut ialah Kuala TS 5, Sang Lu, My Mode dan Raymond Shoppe Pukok Garden.

Kuala TS5 yang mengungguli Kumpulan A akan menentang naib juara Kumpulan B, My Mode.

Sementara itu, juara Kumpulan B, Sang Lu akan bertemu Raymond Shoppe Pukok Garden selaku naib juara Kumpulan A.

Manakala bagi kategori wanita, pasukan MySIS muncul juara setelah mencatatkan 10 mata menerusi tiga kemenangan dan sekali seri, mengenepikan empat pasukan lain.

Perlawanan tersebut yang diadakan secara liga turut menyaksikan Bank-Qu FT menduduki tempat kedua dan D’Home Studio di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah akan diadakan pada majlis penutupan rasmi Minggu Bestari Pekan Sabtu Oya di tapak sama pada jam 2 petang hari tersebut.

Sebanyak 12 pasukan lelaki dan lima pasukan wanita menyertai kejohanan yang julung kali diadakan.

Orang ramai dijemput datang bagi menyaksi dan memeriahkan suasana pertandingan itu.