JKM Mukah sedia hadapi musim tengkujuh: Tang

0

MUKAH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir pada musim tengkujuh ini.

Penolong Pengarah JKM Bahagian Mukah, Tang Kee Lee berkata pihaknya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir pada musim tengkujuh ini dengan membuat persiapan yang sewajarnya.

“Bilik operasi sudah mula beroperasi sejak awal bulan lalu (November), ini adalah persediaan JKM sekiranya berlaku bencana alam terutamanya banjir memandangkan sekarang adalah musim tengkujuh.

“Sehubungan itu, setakat ini di kawasan Bahagian Mukah masih dalam keadaaan selamat dan tidak ada sebarang laporan yang diterima oleh pihak kami,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Antara kawasan-kawasan yang berisiko banjir di sini ialah pekan Mukah, Balingian, Kuala Kenyana, Tanjung Pedada, Nanga Sikat dan Lubok Bemban.

Manakala untuk kawasan Dalat pula ialah pekan Dalat, Klid, Nanga Baoh dan Hulu Baoh.

Dalam pada itu, Tang berkata pihak JKM juga telah menyediakan pangkalan hadapan untuk penduduk setempat terutamanya kawa-san-kawasan yang berisiko banjir.

“JKM telah menyediakan makanan dan menghantar barang-barang terbabit ke kawasan berisiko banjir selain pihak pengurusan bencana peringkat bahagian juga telah menetapkan beberapa tempat pusat pemindahan mangsa banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat sebanyak 38 buah pusat pemindahan untuk seluruh Bahagian Mukah.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai laporan mengenai bencana alam se-perti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan lain-lain boleh menghubungi terus talian JKM untuk mendapatkan bantuan sewajarnya iaitu 084-873801 (JKM Mukah), 084-863873 (JKM Dalat), 084-832253 (JKM Matu) dan 084-823281 (JKM Daro).