Thursday, October 22

Konsert Titian Gemilang Orkestra RTM-UNIMAS tampil artis terkenal

0

KUCHING: Sempena ulang tahun ke-20, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menganjurkan Konsert Titian Gemilang Orkestra RTM-UNIMAS yang bakal menampilkan persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air.

Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, konsert tersebut akan diadakan pada 12 Disember ini di DeTAR Putra UNIMAS dengan kerjasama orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyambut ulang tahunnya yang ke-50.

Menurut Khairuddin, konsert orkestra tersebut akan disiarkan secara langsung di saluran TV1 pada jam 8.30 malam yang turut membariskan artis-artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah.

“Konsert Titian Gemilang Orkestra RTM-UNIMAS diadakan untuk menjalinkan persahabatan serta kerjasama di antara warga UNIMAS dan RTM serta peminat-peminat muzik tempatan secara umum,” jelasnya.

Konsert tersebut dijangka dihadiri oleh Tuan Yang Ter-utama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta isteri Toh Puan Datuk Pa-tinggi Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

UNIMAS juga dijangka akan mengadakan upacara memotong kek lapis terbesar pada malam tersebut bagi menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Acara sampingan juga diadakan seperti Pameran Gemilang pada 9 Disember dan Konsert Legenda pada 14 Disember ini yang turut menampilkan artis-artis terkenal tempatan dan disiarkan secara langsung di saluran TV1.