Rumah bekas ahli politik dibaling ‘molotov cocktail’

0

SIBU: Seorang akauntan lelaki membuat laporan polis selepas rumahnya yang terletak di Jalan Sawi dibaling dengan ‘molotov cocktail’ awal pagi semalam.

Terdahulu, mangsa Wong Ching Yong, 54, mendakwa beliau sedang tidur apabila terdengar bunyi letupan yang kuat tanpa mengesyaki apa-apa.

Sekitar jam 6.30 pagi, jiran mangsa memberitahu beliau ternampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal memecut lari selepas membaling ‘molotov cocktail’ ke arah pekarangan rumah mangsa.

Wong yang ditemani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Liong kemudiannya membuat laporan polis pagi semalam.

Ketika ditemui pemberita, Wong memberitahu, beliau tidak mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur-unsur politik kerana beliau telah mengundurkan diri dari arena politik.

“Saya tak pasti apa punca sebenar kejadian. Saya tidak menghadapi sebarang masalah kewangan. Saya berserah kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut,” jelasnya yang memberitahu rumahnya tidak dipasang dengan kamera litar tertutup.

Wong merupakan bekas ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Sementara itu, Yap berharap, sebarang masalah peribadi dapat diselesaikan dengan menggunakan cara yang betul tanpa kekerasan bagi tujuan keselamatan.

“Sehubungan itu, saya turut berharap polis dan anggota RELA agar melakukan rondaan lebih kerap di kawasan bandar, kawasan kerap berlaku jenayah dan kawasan kediaman khususnya,” ujar beliau.