Vandalisme jejas Kompleks Sukan Sarikei

0

Beberapa kemudahan dirosakkan, menimbulkan pelbagai kesukaran buat pengunjung

SARIKEI: Kemudahan bilik air dan tandas awam yang terdapat di Kompleks Sukan Sarikei kini rosak dipercayai akibat vandalisme.

Beberapa kemudahan seperti pili air dicabut, penutup mangkuk tandas dipecahkan dan penanda pintu yang menunjukkan tandas lelaki dan wanita ditanggalkan, manakala beberapa kemudahan lain turut musnah.

Tindakan pihak tidak bertanggunjawab ini menimbulkan pelbagai kesukaran dan masalah kepada pengunjung kompleks terbabit.

Pengunjung kompleks terbabit, Mohd Osman, 27, berkata tindakan golongan terbabit yang merosakkan harta benda awam harus dibanteras dengan segera sebelum ia menular ke tahap yang lebih serius.

“Sikap negatif seperti ini harus ditangani segera kerana jika dibiarkan boleh mendatangkan banyak kesan yang merugikan.

“Jika kemudahan tersebut rosak dan tidak berfungsi ia akan mendatangkan masalah kepada para pengunjung tempat terbabit.

“Kita juga berharap pihak bertanggungjawab terhadap kemudahan ini dapat bertindak segera untuk membaiki kerosakan yang berlaku,” kata Mohd ketika ditemui oleh pemberita, semalam.

Tambahnya, kawalan keselamatan di tempat itu juga harus dipertingkatkan agar kegiatan itu dapat dibendung.

Sementara itu, penduduk Rafidah Safie, 25, berkata, gejala tersebut memberi satu imej yang tidak baik kepada masyarakat di kawasan ini amnya.

“Sekiranya pengunjung dari luar datang ke tempat tersebut dan menggunakan kemudahan berkenaan dan mereka mendapati kebanyakannya rosak, ini akan menggambarkan betapa teruknya vandalisme di kawasan ini.

“Dalam memastikan hal tersebut tidak berlaku, masyarakat setempat mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri untuk menyemai kesedaran sivik.

“Tugas ini tidak harus diletakkan di bahu satu pihak sahaja, sebaliknya seluruh masyarakat perlu tampil dan menggunakan kemudahan yang disediakan dengan bertanggungjawab,” jelasnya lagi.