Sunday, July 5

Pertandingan fotografi sempena pelancaran buku berjudul ‘My Sibu’

0

SIBU: Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Wong Nai Siong akan menganjurkan pertandingan fotografi sempena dengan pelancaran buku berjudul ‘My Sibu.’

Pengerusinya, Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata buku ‘My Sibu’ itu akan memaparkan gambar-gambar bersejarah pembangunan bandar ini.

Katanya, 80 peratus kandungan buku melibatkan gambar-gambar dan 20 peratus lagi adalah hasil tulisan mengenai sejarah bandar Sibu.

“Ini merupakan kali pertama sekolah melibatkan diri dalam perojek yang besar ini dan diharap buku ini nanti akan memberi perspektif dan pendekatan yang berbeza kepada pembaca mengenai bandar Sibu,” katanya pada majlis pelancaran projek di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Sekolah Datuk Paduka Yong Choo Kui, Pengarah Urusan Daesim, Lau Ngie Hua serta yang lain.

Menurut Lau, mereka akan memastikan isi kandungan buku terbabit seasli yang mungkin agar pembaca lebih menghargainya.

“Banyak buku yang dihasilkan mengenai bandar Sibu sebelum ini gagal menyerlah kerana ia gagal menarik minat pembaca serta pelawat,” jelasnya.

Menyentuh mengenai pertandingan fotografi, Lau memberitahu ia akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Sibu Dinamik, Sibu Mengkagumkan dan Keaslian Sibu.

Katanya, hadiah wang tunai berjumlah RM17,400 menanti pemenang pertandingan, dengan pemenang setiap kategori akan menerima RM1,000, kedua (RM800) dan ketiga (RM500).

Pihak penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai RM100 kepada 20 pemenang lain dan RM50 kepada 30 pemenang hadiah sagu hati.

“Kita menjemput semua jurugambar sama ada profesional atau amatur untuk mengambil bahagian,” katanya sambil menambah tarikh tutup penyertaan ialah pada 15 Januari 2013.

Borang penyertaan boleh diperolehi dri laman sosial www.facebook.com/mysibu.photography. Peserta juga boleh menghantar penyertaan mereka ke alamat P.O. Box 1621, 96008 Sibu, Sarawak dalam bentuk cakera padat (CD) dan gambar bersaiz 8R.