Rumah Jarek Lambir anjur aktiviti bergotong-royong

0

Bantuan bukti TBS prihatin terhadap umat Islam

Cawangan Sibu agih RM475,054 sejak Januari hingga kini kepada golongan yang memerlukan

Oleh Reno Benjamin

 

UNTUK ALBUM: Antara penduduk Rumah Jarek yang terlibat merakam kenangan bersama selepas aktiviti gotong-royong.

SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sibu telah mengagihkan bantuan sejumlah RM475,054 sejak Januari hingga kini kepada golongan yang memerlukan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Lembaga dan Wakaf TBS, Abu Seman Jahwie berkata bantuan itu melibatkan pendidikan kepada seramai 234 pelajar dengan peruntukan sejumlah RM376,328.

Bantuan lain seperti bencana kebakaran sejumlah RM52,786 juga telah diberikan kepada 36 keluarga dan sejumlah RM45,940 lagi bagi bantuan perubatan kepada seramai 31 orang pesakit.

“Walaupun bantuan yang diberikan sedikit, namun ini menunjukkan keprihatinan TBS membantu umat Islam,” katanya pada majlis penyampaian bantuan bencana kepada 10 keluarga di Kampung Usaha Jaya, Jalan Sentosa yang kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada 28 Ogos lepas.

Majlis berlangsung di TBS Sibu di sini semalam turut dihadiri oleh Ketua Pejabat TBS Sibu, Ali Mat.

Menurut Abu Seman, ketua kaum serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jiran Wanita, Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), ahli majlis dan ketua-ketua cawangan parti politik harus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada TBS.

Ini kerana, katanya, termasuk maklumat golongan yang memerlukan bantuan daripada TBS seperti golongan daif, orang sakit, ibu tunggal dan sebagainya.

“Dengan ini baharulah masyarakat Islam terjaga dari segi kebajikan, sekali gus menunjukkan Islam itu indah,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut memberitahu bahawa TBS ditubuhkan dengan tujuan bagi membantu umat Islam yang memerlukan.

“Di samping itu, TBS juga berperanan menguruskan zakat dan fitrah serta menguruskan wakaf selain mengagihkan sedekah yang dikumpul untuk tujuan kebajikan,” katanya.

 

MIRI: Rumah Jarek Lambir, di sini semalam menganjurkan aktiviti bergotong-royong di kawasan berkenaan di sini dengan kerjasama Local Agenda 21 (LA21) dan Jabatan Kesihatan.

Rumah Jarek merupakan rumah angkat LA21 yang mempunyai sebanyak 23 buah pintu didiami sejumlah 41 buah keluarga iaitu seramai 234 orang kaum Iban dan 17 etnik lain.

“Ini adalah sebahagian usaha pihak kita untuk menggalakkan rumah angkat di bawah LA21 menganjurkan aktiviti gotong-royong sendiri sekali gus memberikan manfaat kepada penduduk terbabit,” kata Pegawai Unit LA21, Dayang Siti Nurbaya.

Terdahulu, operasi pengasapan nyamuk (fogging) di kawasan Rumah Jarek dan serbuk ‘abate’ turut diberikan untuk mencegah masalah pembiakan nyamuk.

Antara aktiviti gotong-royong yang dijalankan penduduk Rumah Jarek dan sukarelawan terbabit ialah membersihkan parit, lorong-lorong jalan, kawasan perkebunan dan sekitarnya.

Di samping itu, penduduk Rumah Jarek juga diberikan ringkasan mengenai kaedah membuat baja kompos Bokashi.

Baja kompos berkenaan memberi pelbagai manfaat khususnya dijadikan sebagai baja untuk tanaman atau taman, serta boleh dijadikan bahan untuk mencuci peparitan dan singki.

Hadir sama Pegawai LA21, Lucas Jangum dan Penghulu Randi Elon.