Rumah pangsa awam akan berubah wajah

0

Tiada lagi imej yang sering dikaitkan dengan suasana tidak selesa, masalah sosial: Chor

SEREMBAN: Kediaman rumah pangsa awam di seluruh negara yang sebelum ini sering dikaitkan dengan suasana tidak selesa dan kurang terurus bakal berubah wajah apabila projek Kejiranan Indah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaksanakan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, projek yang dilaksana menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS 7), akan berkonsepkan kos minimum dengan keputusan yang maksimum.

“Pelbagai agensi di bawah kementerian bekerjasama melaksanakan projek ini dan sebagai projek perintis, kita telah membaik pulih Rumah Pangsa Lobak di sini di mana ia akan bertukar wajah baharu.

“Rumah Pangsa Lobak ini akan menjadi satu kejiranan indah yang boleh dibanggakan berbanding imej sebelum ini yang sering dikaitkan dengan pelbagai masalah terutamanya sosial,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek membaik pulih Rumah Pangsa Lobak, di sini semalam.

Beliau berkata, projek membaik pulih rumah pangsa berkenaan iaitu membaiki dan menaik taraf sistem peparitan luaran, menurap jalan, menaik taraf dewan orang ramai dan pengindahan landskap persekitaran berjaya dilaksanakan dengan cepat iaitu kira-kira tiga bulan dengan kos kira-kira RM4 juta.

Katanya, projek Kejiranan Indah turut dilaksanakan di tujuh rumah pangsa lain pada tahun ini, iaitu masing-masing tiga di Alor Star dan Ipoh serta satu di Johor Bahru.

Katanya, bagi tahun depan projek sama akan dilaksanakan di 18 rumah pangsa awam seluruh negara dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu mengubah persepsi rumah pangsa awam yang dikaitkan dengan jenayah.

Selain membaik pulih perumahan awam, projek lain di bawah NBOS 7 termasuk lima projek membina semula rumah terbakar di Kemaman, Kuala Selangor, Parit di Perak, Gemencheh, dan Alor Setar, katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Siow Chen Pin, Senator Datuk Dr. Yeow Chai Thiam dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Arpah Abd Razak. — Bernama