Dua juruelektrik cedera diserang pekerja asing

0

KUCHING: Dua juruelektrik warga tempatan mengalami kecederaan ringan akibat diserang sekumpulan pekerja asing di sebuah tapak pembinaan di belakang sebuah pasar raya di Tabuan Jaya, semalam.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila mangsa, 40-an, bersama tiga lagi pekerjanya sedang melakukan pendawaian elektrik di tapak pembinaan tersebut sekitar jam 10 pagi.

Difahamkan, sekitar 30 lagi pekerja warga asing juga melakukan kerja meratakan simen beberapa meter dari mangsa dan rakannya bekerja.

Menurut mangsa, dia telah meminta pekerja asing tersebut untuk tidak meletakkan simen di beberapa tempat kerana akan mengganggu kerja-kerja pendawaian mereka.

Bagaimanapun, permintaan mangsa itu tidak diendahkan sehingga menyebabkan berlaku pertelingkahan di antara mereka sebelum mangsa dipukul di tempat kejadian.

Seorang daripada rakan mangsa yang cuba menghalang pergaduhan tersebut juga dipukul menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa bersama rakannya kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian dan siasatan masih dijalankan.