PRU13: Rakyat perlu bijak buat penilaian

1

MIRI: Pemilih yang berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan supaya bijak membuat penilaian sebelum membuang kertas undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata pemilih harus bijak membuat perbandingan, penilaian dan berfikir secara mendalam sebelum mengambil keputusan untuk membuang undi.

“Jangan mudah tertipu atau percaya dengan ‘gula-gula’ pihak tertentu yang cuba memanipulasi mereka sebaliknya pemilih harus membuat analisis sebelum membuat keputusan,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, sebagai contoh, pemilih harus melihat pembangunan yang berlaku di sekeliling mereka dan ia disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat pelbagai peringkat.

“Bagi pemilih di kawasan Sibuti, kita mengharapkan mereka terus memberi kepercayaan kepada BN dan menolak mana-mana parti luar yang cuba membawa mereka keluar dari landasan yang betul,” katanya.

Beliau memberitahu, Sibuti telah mengalami pembangunan yang pesat sehingga membawa perubahan ketara kepada taraf hidup rakyat secara keseluruhannya.

“Kerajaan sentiasa berusaha menjadikan kehidupan rakyat bertambah baik bahkan menyediakan pelbagai kemudahan infrasktruktur untuk keselesaan mereka dan generasi akan datang,” jelasnya.

Sehubungan itu, tindakan menukar kerajaan yang sedia ada hanya akan merugikan mereka bahkan pemilihan kerajaan yang baharu itu nanti belum pasti menjamin kehidupan mereka yang lebih selesa.

Sementara itu, beliau terus melahirkan keyakinan bahawa Parlimen Sibuti terus kukuh menjadi kubu kuat kepada kerajaan BN bahkan tidak akan berdepan masalah besar untuk mempertahan-kannya.

“Kita tidak berdepan masalah untuk menang dengan majoriti besar pada PRU13 kelak sebab kita yakin rakyat Sibuti masih bersama kerajaan dan memerlukan banyak lagi kemudahan infrasktruktur,” katanya.

Beliau juga tidak gentar atau berasa tergugat untuk berdepan dengan mana-mana calon parti luar pada PRU13 kelak yang ketika ini sudah bercita-cita besar untuk menawan Parlimen Sibuti.