Monday, September 23

Japan Foundation promosi pertukaran budaya antara Jepun dan M’sia

0

PELANCARAN: (Dari kanan) Toyoda, Muhamad Yakup dan Koichi sempena pelancaran Festival Filem Jepun di Star Cineplex, City Point di Bintulu kelmarin.

BINTULU: Japan Foundation Kuala Lumpur telah mengadakan usaha mempromosi pertukaran budaya antara Jepun dan Malaysia sejak ditubuhkan pada Oktober 1989 agar penduduk kedua-dua negara dapat memahami budaya antara keduanya.

Pengarahnya, Toyoda Soichi berkata, mereka tidak hanya menayangkan filem rakyat Jepun bahkan bahasa Jepun, pengajian pendidikan Jepun dan pertukaran intelektual, seni serta kebudayaan Jepun.

“Saya mengharapkan anda tahu dan memahami Jepun dan rakyatnya menerusi festival ini dan melalui program pertukaran budaya lainnya,” katanya pada majlis perasmian Festival Filem Jepun di Star Cineplex Bintulu, City Point di sini kelmarin.

Empat buah filem ditayangkan secara percuma sempena festival itu bermula semalam dan hari ini (Ahad) ialah Yamazakura -The Cherry Tree in the Hills; The Twilight Samurai, Happy Flight dan Departures.

Tayangan pembukaan yang turut dihadiri oleh Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di sini termasuk pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu ialah `Happy Fligt’.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada Mitsubishi Corporation atas sokongan penuh terhadap festival ini sebagai memperingati Ulang Tahun Ke-30 Polisi Pandang Ke Timur tahun ini.

“Turut tidak dilupa Hock Star Entertainment Industry dan Star Cineplex yang berbesar hati membantu kami menjayakan festival ini di Bintulu termasuk Kuching,” tambahnya.

Beliau berkata, empat filem Jepun telah dipilih untuk ditayangkan dalam festival ini dari genre filem tradisional kepada kontemporari.

“Departures antaranya merupakan filem yang memenangi Anugerah Akademi untuk Filem Bahasa Asing Terbaik dalam Anugerah Oscars ke-81 pada 2009, manakala `Happy Flight’ pula merupakan filem lucu dan menawan diikuti YAMAZAKURA dan Twilight Samurai pula etika kehidupan dalam tempoh zaman Samurai,” jelasnya.

Beliau berkata, festival di Bintulu adalah yang pertama kali diadakan dan Festival Filem Jepun yang diadakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tahun ini merupakan kali kesembilan  sejak mula diperkenalkan pada 2004.

“Ia telah dinikmati oleh ramai peminat filem-filem Jepun dari negara ini. Kami telah mengadakan festival yang sama di Kuching pada Oktober dan kali ini kami memberikan maklum balas terhadap permintaan tinggi daripada peminat filem Jepun di Bintulu,” katanya.

Menurutnya, mereka berharap penduduk di Bintulu akan menikmati filem yang ditayangkan dan akan memahami serta mengetahui lebih lanjut tentang negara Jepun.

Sementara itu, Pengurus Besar merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Corporation Cawangan Kuala Lumpur, Koichi Wada berkata festival itu dirancang untuk diadakan sebagai program tahunan di Bintulu pada masa hadapan.

Sambil berharap program itu akan mengukuhkan hubungan baik antara Jepun dan Malaysia katanya, Mitsubishi juga telah menjalinkan hubungan baik sejak pembukaan industri minyak dan gas membabitkan Malaysia LNG dan Shell MDS di sini.

Katanya, sebagai warga korporat yang baik pelbagai program lain telah diadakan di sini antaranya program menanam pokok bersama UPMKB, pertandingan golf dan sebagainya diikuti yang terbaru untuk julung kalinya adalah menganjurkan Festival Filem Jepun.

“Kami berharap penduduk Bintulu akan dapat menikmati filem-filem Jepun yang ditayangkan,” katanya.