Kemajuan teknologi pertanian menuntut proses transformasi

0

SRI AMAN: Kemajuan teknologi pada masa sekarang secara tidak langsung telah menuntut perlunya proses transformasi dalam segala bidang yang diceburi oleh masyarakat terutama dalam bidang pertanian.

Justeru, Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri menganjurkan Kursus Asas Tanaman Secara Teknologi Fertigasi di bilik mesyuarat Hotel Hoover Sri Aman, di sini baru-baru ini.

Penolong Pengarahnya, Matnor Abang berkata kursus melibatkan seramai 33 peserta dari kawasan Sri Aman, Engkilili dan Lubok Antu itu bertujuan mempromosi pertanian moden berasaskan sistem fertigasi di kalangan usahawan muda.

“Usahawan muda perlu mempunyai inovasi dalam bidang pertanian. Ini kerana pertanian moden berasaskan teknologi fertigasi mampu memberi hasil yang lebih lumayan kepada pengusahanya.

“Contohnya ialah sebatang pokok cili yang ditanam menerusi sistem ini boleh menghasilkan sebanyak 2.5 hingga lima kilogram buah untuk satu masa berbanding dengan hasil antara satu hingga tiga kilogram bagi sistem konvensional,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun sistem ini tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak dan tanah yang luas, namun ia  masih mempunyai kelemahan dari segi sokongan peralatan dan baja di samping memerlukan modal yang tinggi untuk melaksanakannya.

Matnor berkata, untuk mengatasi masalah ini maka pihaknya akan mewujudkan golongan usahawan bagi memenuhi kehendak tuntutan peralatan dan baja untuk tujuan sistem fertigasi itu nanti.

Sehubungan itu, mereka yang berminat menceburi bidang ini boleh melayari internet jika mahu memahami dengan lebih lanjut tentang sistem fertigasi.

Antara taklimat ini ialah Sesi Pengenalan Kepada Asas Pembangunan Sistem Fertigasi, Pengurusan Amalan Satinasi Ladang Fertigasi, Pengurusan Tanaman Melon dan Timun oleh Wan Mohammad Zukarnain daripada Jabatan Pertanian Malaysia.

Zukarnain turut menyampaikan taklimat mengenai Pengurusan Tanaman Cili dan Aplikasi Plant Booster.

Penolong Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak Abdul Jaafar Lian menyampaikan taklimat mengenai Senario Pemasaran Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan di Sarawak.