Chelsea mengamuk di Elland Road

0

The Blues bangkit benam Leeds 5-1 untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga

CERIA: Penyerang Chelsea, Fernando Torres (dua kiri) memeluk rakan sepasukan, Eden Hazard (kiri) ketika meraikan jaringan kelima buat pasukannya pada perlawanan suku akhir Piala Liga Inggeris menentang Leeds United di Stadium Elland Road, England pada Rabu lepas. — Gambar AFP

LEEDS, England: Chelsea mengurangkan tekanan ke atas pengurus sementaranya, Rafael Benitez mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Piala Liga Inggeris dengan kemenangan 5-1 ke atas musuh lama, Leeds United di Elland Road Rabu lepas.

Leeds, yang berada di tangga pertengahan Liga Championship, membayangkan satu kejutan di suku akhir apabila membuka jaringan pada minit ke-38 untuk gol ke-15 penyerang Luciano Becchio musim ini apabila menyempurnakan umpanan Jerome Thomas.

Tetapi pemain pertahanan, Tom Lees terlepas peluang keemasan untuk menambah jaringan pada minit akhir sebelum rehat tetapi tandukan dari hantaran lintang El Hadji-Diouf sedikit tinggi melambung dari pintu gol.

Chelsea enggan mengalami nasib yang sama seperti Arsenal, yang disingkirkan dari kejohanan oleh kelab dari divisyen empat, Bradford City apabila memperbaiki rentak permainan pada separuh masa kedua dengan menjaringkan lima gol dan mengesahkan tiket ke separuh akhir.

“Pasukan bermain dengan agak baik dalam separuh masa pertama dan reaksi pasukan dalam separuh masa kedua adalah hebat selepas kembali dari Jepun dengan keletihan penerbangan dan pertukaran beberapa pemain,” kata Benitez.

“Reaksinya luar biasa. Kami mencari karektor dan bercakap mengenainya pada masa rehat.”

Pengurus Leeds, Neil Warnock menambah: “Jika tandukan Tom Lees masuk ketika kami mendahului 1-0, ia mungkin situasi yang berbeza.

“Tetapi jika anda bolos terlalu awal selepas rehat, anda memang dalam masalah. Mereka menguasai permainan dan kami gagal menanganinya. Saya tidak dapat membuat sebarang rungutan lagi.”

Chelsea mengikat kedudukan seminit selepas rehat apabila penjaga gol Leeds, Jamie Ashdown gagal menepis rembatan lemah Juan Mata.

Dua gol dalam beberapa minit pada pertengahan separuh masa kedua mengesahkan kemenangan Chelsea pada perlawanan kelapan dalam tempoh 24 hari, kurang 48 jam selepas kembali dari Jepun, di mana mereka tewas pada final Piala Kelab Dunia kepada Corinthians dari Brazil.

Branislav Ivanovic menanduk satu tendangan sudut pada minit ke-64 untuk meletakkan Chelsea di hadapan sebelum Victor Moses menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-66.

Chelsea menunggu 10 minit terakhir untuk menambah jaringan menerusi gol Eden Hazard selepas menerima umpanan jauh dari David Luiz sebelum Torres menolak bola untuk gol ke-13 beliau musim ini. — AFP