Tuesday, September 17
September 16

BNYV Sarawak sasar daftarkan 50 ahli dari setiap kawasan Parlimen: Rufaizah

0

DAFTAR BELIA: Kaunter pendaftaran BNYV Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang diserbu belia pada hari pelancarannya baru-baru ini.

KUCHING: Sukarelawan Belia Barisan Nasional (BNYV) Sarawak menyasarkan untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 50 orang ahli dari setiap kawasan Parlimen.

Sukarelawan Teras BNYV Rufaizah Bujang berkata, pada masa ini mereka sedang giat mendaftarkan golongan tersebut agar berupaya membantu BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Sekarang kita sudah ada 700 ahli di Sarawak dengan majoritinya dari Bahagian Kuching dan sedikit dari wilayah tengah dan utara.

“Kita sebenarnya tidak menyasarkan berapa ahli yang berdaftar tetapi sekurang-kurangya 50 orang Sukarelawan Belia BN di setiap Parlimen,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

BNYV Sarawak dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom pada 10 Disember lepas.

Pada Sabtu ini, program pendaftaran BNYV akan diadakan di Kampung No.5 dan Kampung No.6 menerusi Program Komuniti 1Malaysia dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata lagi, BNYV adalah organisasi yang ditubuhkan untuk menarik lebih ramai belia menyertai BN tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik komponen BN.

BNYV akan dijadikan landasan untuk belia bertukar fikiran dan bekerjasama serta menjadi sebahagian kumpulan yang membantu BN dalam pilihan raya akan datang, katanya.

Organisasi tersebut merupakan peluang bagi golongan belia membina jaringan dengan rakan-rakan penyokong BN di seluruh negara, berkongsi pandangan, membina persahabatan baharu dan bekerja rapat dengan pemimpin BN yang bertanding atau menguruskan kempen.

Ia adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berkongsi dasar perjuangan dengan BN.