Faktor rumah tangga mungkin punca prestasi Chong Wei turun

0

KUALA LUMPUR: Sep­erti peminat badminton yang lain, Datuk Misbun Sidek turut gelisah melihat prestasi semasa Datuk Lee Chong Wei.

Beliau yang pernah melatih pemain nombor satu negara ini berpendapat kemungki­nan faktor usia atau komit­men rumah tangga telah men­jejaskan sedikit prestasinya.

“Apabila Chong Wei sudah berumah tangga, kita tidak tahu bagaimana komitmen­nya. Badminton adalah sukan yang memerlukan kecerdasan fizikal dan kita tidak tahu se­jauh mana tahap kecerdasan Chong Wei ketika ini.

“Sebagai ahli sukan, Chong Wei sendiri harus tahu di mana kedudukannya untuk menstabilkan diri di pering­kat antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada ma­jlis perasmian Kejohanan Badminton Future X-Plode Kementerian Belia dan Su­kan (KBS)-Nusa Mahsuri peringkat kebangsaan 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Kejohanan yang bermula semalam sehingga Ahad ini dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Peng Shieu.

Ia merupakan kesinam­bungan Kem Bakat Bad­minton KBS-Nusa Mahsuri peringkat zon dan negeri yang diadakan sejak 2009.

Namun Misbun yakin Chong Wei dapat mengatasi kelemahannya untuk kembali kepada prestasi terbaiknya.

Chong Wei, 30, mendiri­kan rumah tangga dengan bekas pemain perseorangan negara, Wong Mew Choo pada 9 Nov lepas.

Beliau tumpas mengejut kepada pemain nombor sem­bilan dunia Du Pengyu dari China pada aksi pembukaan Siri Super Masters Akhir di Shenzhen, China baru-baru ini.

Selepas itu, beliau mena­rik diri daripada kejohanan akibat kecederaan pada kaki kanan.

Mengenai kejohanan Fu­ture X-Plode, Misbun yang juga ketua jurulatih Kelab Nusa Mahsuri berkata ke­johanan yang diadakan di Kompleks Sukan, Institut Penilaian Negara, Bangi, Selangor menyaksikan peny­ertaan 400 peserta berumur 13 tahun ke bawah.

Ia mempertandingkan la­pan kategori iaitu Bawah 11 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan, Bawah 11 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan, Bawah 13 Ta­hun Individu Lelaki dan Perempuan serta Bawah 13 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan.

“Saya berharap meneru­si kejohanan ini, ia dapat melahirkan seorang lagi Lee Chong Wei pada masa akan datang,” kata Misbun. — Bernama