MPP rancang bina lebih banyak jejantas

0

UNTUK KESELAMATAN: Lo (kiri) bergambar di atas jejantas yang telah siap dibina semalam bersama pihak perunding dan jurutera.

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) merancang untuk membina lebih banyak jejantas bagi kemudahan pejalan kaki di kawasan pentadbirannya.

Antara lokasi dikenal pasti termasuk kawasan berhadapan dengan kompleks beli-belah Boulevard, berdekatan pasar Batu 7 dan di hadapan Sekolah Sunny Hill.

Pengerusinya, Lo Khere Chiang berkata, anggaran kos pembinaan ialah kira-kira RM1 juta bagi setiap projek.

“Pada tahun 2013, pihak kami merancang untuk membina lebih banyak jejantas yang bertujuan memberi keselesaan serta keselamatan kepada pejalan kaki.

“Namun demikian, ia masih di dalam perancangan dan bergantung kepada peruntukan yang akan kami pohon daripada kerajaan persekutuan nanti,” katanya pada sidang media MPP di Siburan, semalam.

Pada masa sama, beliau menyeru penduduk Siburan agar memanfaatkan jejantas baharu terbabit yang dibina dengan kos RM300,000.

Jejantas dengan ketinggian enam meter dari paras jalan dan 40 meter panjang itu dibina ekoran sebahagian jejantas runtuh akibat kemalangan membabitkan sebuah treler tidak lama dahulu.

“Pembinaan berjalan lancar walaupun terdapat penangguhan sewaktu pembinaan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan orang ramai yang bersabar ketika pembinaan dijalankan.

Menurutnya lagi, lintasan zebra yang digunakan sebelum ini juga telah diubah suai dan pejalan kaki dinasihati agar menggunakan jejantas yang dibina agar lebih selamat.

Beliau turut menegur segelintir pihak yang gemar melekat dan menggantung papan iklan serta kain rentang di sepanjang laluan pejalan kaki.

“Jika mereka mahu mengiklan atau menampal sebarang jenis iklan di sepanjang laluan, mereka harus meminta kebenaran daripada pihak majlis.

“Denda akan dikenakan kepada pesalah mengikut tahap serius kesalahan,” katanya.

Turut hadir semalam ialah Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching Awang Mohamad Fadillah.