Monday, October 21

Ramai majikan tidak daftar pekerja

0

RAMAH MESRA: John (dua kanan) bersalaman dengan para media yang hadir pada Majlis Makan Malam PERKESO Bersama Media di Kuching, kelmarin. Turut kelihatan Chan (kanan).

PERKESO keluarkan 82 notis kompaun dalam Ops Kesan di Kuching

KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kesal kerana masih ramai majikan di negeri ini tidak peka tentang kepentingan mendaftarkan pekerja mereka.

Perkara itu didedahkan Pengarah PERKESO Sarawak John Riba Marin yang memberitahu daripada Ops Kesan di bandar raya ini yang melibatkan lebih 100 majikan, 82 daripadanya dikeluarkan notis kompaun.

Beliau menjelaskan, 82 notis kompaun itu dikeluarkan kerana kesalahan gagal mendaftarkan perusahaan dan gagal mendaftar pekerja.

“Oleh itu, jumlah ini jelas menunjukkan masih ramai majikan tidak mendaftarkan perusahaan serta pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada majlis makan malam sempena perasmian Seminar PERKESO Bersama Media di sini, kelmarin.

John menegaskan, pihak majikan harus mengetahui tanggungjawab mereka di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 iaitu mendaftar perusahaan dan pekerja.

Pada masa yang sama beliau memberitahu Malaysia kini mempunyai hampir dua juta pekerja yang telah didaftarkan di bawah PERKESO.

Selain itu, John berkata, PERKESO turut memperkenalkan Program Saringan Kesihatan percuma kepada orang berinsurans di bawah PERKESO.

“Program khas untuk individu yang telah berdaftar di bawah PERKESO yang berusia 40 tahun ke atas bagi mengenal pasti kumpulan berisiko menghidapi penyakit tidak berjangkit atau penyakit kronik,” jelasnya.

Katanya, pencarum PERKESO akan menikmati kemudahan berkenaan di bawah Program Saringan Kesihatan Percuma mulai Januari tahun depan.

“Justeru, saya berharap para media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menyebarluaskan faedah-faedah yang disediakan PERKESO kepada pencarumnya demi masa depan pekerja di negeri ini,” ujarnya.

Hadir sama Pengurus Cawangan Khidmat Pelanggan, Bahagian Perancangan dan Hal Ehwal Korporat PERKESO Chan Hood Cheng dan para media.