Sunday, January 19

Rakyat harus ambil iktibar konflik negara bergolak

0

KUDAT: Rakyat perlu  mengambil iktibar daripada  kekacauan dan ketidakharmonian  di kebanyakan negara  lain yang bergolak akibat  kewujudan ekstremisme serta  fanatik agama, kata Timbalan  Menteri Pengangkutan Datuk  Abdul Rahim Bakri.

Katanya perkara sedemikian  tidak harus dibenar berlaku  di negara ini yang rata-rata  rakyat mengamalkan kesederhanaan  sekalipun berbilang  bangsa dan agama.

“Atas kejayaan kita mempromosikan  kesederhanaan  inilah maka masyarakat global  menghormati peranan kita  di arena antarabangsa dalam  mempromosikan konsep ini.

“Negara kita mempromosikan  konsep konflik resolusi  dan memberi keutamaan  kepada aspek perundingan  bagi mengelak pergaduhan  berasaskan agama dan etnik,”  katanya pada majlis sambutan  Hari Krismas Masyarakat  Cina Kristian di Dewan  Pei Tsin Kudat, di sini semalam.

Beliau berkata penerimaan  dan kepercayaan kedua-dua  pihak yang bertelagah di  Filipina terhadap Malaysia  untuk menjadi orang tengah  dalam menyelesaikan konflik  di selatan negara itu adalah  pengiktirafan besar kepada  negara.

“Dan rakyat Malaysia harus  bangga dengan peranan  Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Tun Razak kerana  mengharumkan nama negara  di persada antarabangsa,”  katanya.

Abdul Rahim yang juga  Ahli Parlimen Kudat turut  memuji masyarakat beragama  Kristian di Sabah  khususnya, kerana sentiasa  membantu kerajaan  mempromosikan konsep  kesederhanaan di kalangan  penganutnya. — Bernama