Anggota RAJD ditambah ikut keperluan

0

Jayakan misi kemanusiaan untuk membantu mangsa bencana banjir di Pantai Timur

KEMAMAN: Seramai 1,800 anggota Rejimen Pakar Pengendalian Air Ke-60, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersiap sedia untuk menambah bilangan anggota dalam bantuan misi kemanusiaan sebagai persediaan bagi membantu mangsa bencana banjir di Pantai Timur.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Tan Sri Rozali Ismail berkata bantuan dengan kerjasama SYABAS itu bagaimanapun bergantung kepada tahap semasa bencana alam di tiga negeri yang kini masih terjejas akibat banjir.

“Kita telah melancarkan misi bantuan kemanusiaan bersama anggota Skuadron Selangor RAJD bermula petang kelmarin dan kita bersetuju menambah bilangan anggota RAJD dari Perak, Negeri Sembilan dan Melaka bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Namun ia bergantung kepada keadaan semasa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan dan kita akan mengikuti pelan yang diatur Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir negeri bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pegawai Pemerintah Skuadron Selangor 60 RAJD (AW), Mejar Ariff Ibrahim serta penolongnya Lt Kolonel Abu Bakar Bakri Alias.

Rozali yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad berkata penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan itu tiba pagi ini di Kemaman berikutan daerah di negeri Terengganu ini merupakan kawasan paling teruk terjejas dilanda banjir.

Empat kampung dipilih untuk menerima bantuan 2,240 botol air minuman itu iaitu kawasan penempatan mangsa banjir di Seri Bandi, FELDA Seberang Tayor, Padang Kubu dan Sungai Mas.

Beliau berkata langkah itu sebagai tanggungjawab sosial korporat SYABAS yang menghantar 30 petugas sebagai tanda keprihatinan menyalurkan air bersih memandangkan beberapa loji penapisan menyalurkan air bersih di daerah itu gagal berfungsi akibat dilanda banjir.

“Kita juga membawa bersama jurutera bagi menghadapi kemungkinan berlaku kerosakan loji di kawasan terbabit dan mereka akan membantu sekiranya diperlukan,” katanya.

Rozali berkata misi terbabit sesuai dengan seruan Kementerian Pertahanan yang mengarahkan semua agensi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia dikerahkan ke kawasan banjir.

Sementara itu, Abu Bakar berkata air bersih yang dibekalkan Syarikat Puncak Niaga Holding Berhad itu diangkut dengan lori tangki dan turut memenuhkan tangki di dua buah masjid.

“Syarikat berkenaan dijangka menghantar tambahan sebanyak 5,210 botol minuman lima liter ke daerah ini dalam sehari dua ini secara berperingkat,” katanya. — Bernama